Tidak serik jual ketum, setiap tahun ditahan

Osman (tengah) menunjukkan sebahagian air ketum yang dirampas daripada seorang lelaki di Trong, Taiping.
Osman (tengah) menunjukkan sebahagian air ketum yang dirampas daripada seorang lelaki di Trong, Taiping.
A
A
A

TAIPING - Seorang lelaki ditahan kali kelima sejak 2018 kerana kesalahan menjalankan kegiatan memproses dan menjual air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Permatang Raja, Padang Gajah, Trong di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, suspek berusia 51 tahun itu tidak serik dan kali ini ditahan polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah ketika mahu menjual cecair itu.

Beliau memberitahu, pemeriksaan di lokasi menemui tong mengandungi 193 botol minuman, 33 plastik dan 20 tong kecil yang kesemuanya berisi cecair disyaki air ketum sedia untuk dijual kepada pelanggan.

"Air ketum terbabit diproses sendiri oleh suspek mengikut tempahan pelanggan dan daun diperoleh di luar kawasan Taiping," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini pada Khamis.

Menurutnya, kesemua air ketum dengan isipadu 733.7 liter bernilai RM7,337 dirampas untuk siasatan lanjut.

Katanya, bapa kepada empat anak yang mempunyai empat rekod kesalahan sama sejak 2018 kini direman selama tiga hari sehingga Sabtu untuk disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel Berkaitan: