Pembangkang gesa mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas diteruskan

Pembangkang akan terus menggesa agar mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas diteruskan secepat mungkin.
Pembangkang akan terus menggesa agar mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas diteruskan secepat mungkin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Agensi-Agensi di Bawah Jabatan Perdana Menteri daripada pembangkang menggesa mesyuarat yang membincangkan isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki diteruskan.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, meskipun Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah membuat keputusan berhubung perkara itu, pihaknya akan terus menggesa agar Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) menerusi Pengerusinya, Abdul Latiff Abdul Rahman untuk mengadakan mesyuarat berkenaan secepat mungkin.

"Sekarang (mesyuarat) ditangguhkan, kita sedang menunggu nasihat daripada penasihat undang-undang Parlimen dan kita merayu kepada Pengerusi (Abd Latiff) untuk mengadakan mesyuarat secepat mungkin kerana ini adalah isu kepentingan awam,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.

Media pada Rabu melaporkan, SC memutuskan tiada pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung akaun dagangan Azam.

Dalam kenyataannya, SC menjelaskan hasil bukti bebas yang dikumpul menunjukkan bahawa Azam adalah pemegang akaun dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan terbabit.

Dalam perkara berkaitan, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menegaskan, jawatankuasa berkenaan perlu bermesyuarat untuk meneliti keseluruhan kes termasuk mengenai jumlah pemilikan saham oleh seorang penjawat awam.

Mesyuarat berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada Rabu ditangguh ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian berikutan terdapat beberapa isu perundangan yang memerlukan pandangan undang-undang daripada pejabat penasihat undang-undang Parlimen.

Artikel Berkaitan: