[VIDEO] Gesa tubuh jawatankuasa selesai isu tanah rizab Melayu

Asmuni (tengah) bersama Fakhruldin (kiri) dan Muhaimin menunjukkan buku Enakmen Rizab Melayu ketika sidang akhbar di Wisma Amanah Perak, Ipoh pada Jumaat.
Asmuni (tengah) bersama Fakhruldin (kiri) dan Muhaimin menunjukkan buku Enakmen Rizab Melayu ketika sidang akhbar di Wisma Amanah Perak, Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menggesa penubuhan sebuah jawatankuasa dan persidangan meja bulat di peringkat kebangsaan bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan tanah rizab Melayu (TRM) yang menjadi polemik ketika ini.

Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi berkata, isu penukaran hak milik TRM kepada bukan Melayu itu bukan hanya berlaku di Perak tetapi di hampir semua negeri di Malaysia.

Jelas beliau, terdapat dua kelemahan utama yang dilihat menjadi punca kepada isu pemindahan pegangan TRM kepada bukan Melayu iaitu kelemahan pentadbiran dan juga kelompongan undang-undang yang boleh dimanipulasi pihak tertentu.

"Soal TRM terlepas kepada bukan Melayu ini bukanlah perkara baharu. Selagi mana berlakunya perkara-perkara melibatkan pencerobohan dari segi pelanggaran undang-undang ini tidak diatasi, ia akan terus berlaku di masa akan datang.

"Masalah yang saya nampak ada dua. Satu adalah kelemahan pentadbiran dan kedua kita kena lihat dari sudut lacuna atau kelompongan di dalam undang-undang itu sendiri," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma Amanah Perak di sini pada Jumaat.

Hadir sama pada sidang akhbar itu dua Naib Pengerusi Amanah Perak, Dr Fakruldin Mohd Hashim dan Dr Muhaimin Sulam.

Asmuni berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan serius dalam menangani isu berkenaan dengan menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk mengenal pasti tanah-tanah yang diisytiharkan sebagai TRM sama ada sudah diletakkan memorial atau diluluskan seperti mana dikehendaki oleh Seksyen 6 Enakmen Rizab Melayu.

Menurutnya, beberapa peruntukan undang-undang di negeri-negeri lain seperti di Kedah, Perlis dan Kelantan membenarkan pemilikan TRM kepada bukan Melayu seperti orang Siam dan sebagainya.

"Jadi di sini saya syorkan supaya satu persidangan meja bulat atau jawatankuasa bertindak di peringkat kerajaan persekutuan untuk diselesaikan walaupun isu berkaitan tanah di bawah bidang kuasa negeri tetapi kita ada Majlis Tanah Negara di peringkat persekutuan.

"Majlis Tanah Negara boleh mengambil peranan untuk menjadi pemudah cara bagi usaha ke arah menyelesaikan polemik yang terdapat di dalam undang-undang berkaitan TRM ini.

"Walaupun Enakmen Rizab Melayu ini yang dipakai oleh negeri-negeri bersekutu termasuk di Perak ini tidak membenarkan TRM ini diberi milik kepada bukan Melayu tetapi ia masih boleh dilakukan melalui pintu belakang iaitu menerusi penubuhan koperasi," katanya.

Dalam pada itu, Asmuni bersedia untuk menyumbang pengalaman dan kepakaran berkaitan TRM jika dijemput bersama-sama di dalam jawatankuasa berkenaan.

Pada Rabu, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta siasatan dijalankan berkaitan penjualan tanah berstatus TRM kepada bukan Melayu di kawasan seluas 647.5 hektar di Sitiawan.