Ibu tunggal tabah urus dua anak OKU

Rohani menguruskan anaknya, Zulkarman yang hanya mampu terbaring selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Rohani menguruskan anaknya, Zulkarman yang hanya mampu terbaring selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.
A
A
A

MACHANG - Seorang ibu tunggal tabah menjaga dua anak lelakinya yang juga orang kurang upaya (OKU) walaupun tidak mempunyai pendapatan tetap setiap bulan.

Mempunyai lapan orang cahaya mata, dua daripadanya telah meninggal dunia manakala dua lagi adalah OKU memberi cabaran yang besar kepada Rohani Hussin, 66, yang berasal dari Manek Urai di sini untuk meneruskan kehidupan selepas tidak lagi bekerja di ladang estet di Pahi.

Walaupun kini menumpang di rumah anak ketiga di Machang, namun dia tetap bersedih kerana rumahnya di Manek Urai sebelum ini terpaksa dijual bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

"Anak ketujuh (Mohd Zulkarman Mohd Yusoff, 28) terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan untuk menyaksikan perlawanan bola di Pahang pada tahun 2012 dan sejak itu dia hanya mampu terbaring.

"Anak bongsu pula (Mohd Zulhilmi Mohd Yusoff, 24) OKU masalah pendengaran, namun masih boleh berjalan dan urus diri sendiri. Kedua-duanya bergantung pada saya sepenuhnya," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Rohani berkata, sebelum ini dia tinggal di Manek Urai, namun rumahnya rosak teruk akibat banjir besar 2014 dan dibaiki menggunakan duit simpanan yang ada, selain digunakan untuk rawatan Mohd Zulkarman.

Katanya, dia tidak mampu untuk tinggal di rumah berkenaan lagi memandangkan mengalami masalah sakit lutut dan tidak mampu menguruskan dua anak OKU tersebut sendirian.

"Anak perempuan saya yang ketiga tinggal di Machang dan dia menawarkan untuk tinggal bersama bagi memudahkan saya menjaga dua adiknya yang OKU ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya ambil keputusan menjual rumah tersebut dan menumpang di Pangkal Changgung, Machang bersama anak dan menantu. Duit yang jual rumah pun saya gunakan untuk rawatan Zulkarman," katanya.

Katanya, anaknya itu sepatutnya diberikan susu khas yang berharga RM350 sebulan, namun disebabkan masalah kewangan dia terpaksa memberi makanan biasa.

"Lampin pakai buang sudah disediakan pihak Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) memandangkan sebelum ini Zulkarman bekerja sebagai pengawal keselamatan," katanya.

Menurut Rohani, sebelum ini dia mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 dan dinaikkan kepada RM500.

Bagaimanapun katanya, bantuan itu dihentikan selepas dia berpindah ke Machang dan perlu membuat permohonan baharu.

"Saya berharap urusan di JKM Machang akan dipermudahkan. Sekarang ini kami bertiga menumpang di rumah anak menantu. Kesian juga pada mereka sebab masing-masing kerja kampung," katanya.

Mana-mana pihak yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi anak Rohani iaitu Rosmawati di talian 013-9020950 atau sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam Rohani Hussin 03072020993641.