Kebakaran besar di tapak pelupusan sampah masih berlarutan, belum dapat dipadam

PASIR GUDANG – Kebakaran di tapak pelupusan sampah di Jalan Muhibbah, Kampung Pasir Putih, di sini masih belum berjaya dipadamkan sejak malam Rabu.
Kebakaran yang dilaporkan bermula kira-kira jam 10 malam itu turut merebak ke kawasan simpanan fiber membabitkan longgokan bongkah boya setinggi kira-kira tiga meter.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Zuhdieyusni Said berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.04 malam.
Jelasnya, seramai 18 anggota dari BBP Pasir Gudang dan BBP Johor Jaya digerakkan bagi menjalankan operasi pemadaman.

"Kebakaran pada mulanya melibatkan kawasan terbuka seluas 0.0232 hektar.
“Setakat jam 3.17 pagi tadi, kebakaran merebak hingga 500 kaki persegi dan menjejaskan kawasan simpanan fiber yang membabitkan longgokan bongkah boya setinggi kira-kira 10 kaki.
“Operasi pemadaman berhadapan kesukaran berikutan ketiadaan sumber air berhampiran selain air laut.
“Anggota terpaksa berulang-alik ke pili bomba terdekat pada jarak 3.5 kilometer dari lokasi kebakaran untuk mengisi semula tangki jentera,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, pada jam 5.33 pagi, operasi pemadaman dibahagikan kepada dua bahagian iaitu di hadapan dan belakang kawasan kebakaran.
“Bahagian hadapan menggunakan dua pancutan air menerusi pam angkut BBP Johor Jaya, manakala bahagian belakang menggunakan dua pancutan air menerusi pam angkut BBP Pasir Gudang dengan sumber air laut berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, operasi pemadaman masih diteruskan dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

