Jerebu: Semua sekolah di Negeri Sembilan beroperasi esok

SEREMBAN - Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Negeri Sembilan akan beroperasi seperti biasa pada Jumaat (16 Oktober 2026).
Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) dalam kenyataan berkata, sebarang keputusan berkaitan penutupan institusi pendidikan akibat jerebu adalah tertakluk kepada ketetapan, kriteria dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
"Ia berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) serta perkembangan semasa.
"Oleh itu, tindakan berkaitan pengoperasian sekolah hendaklah dilaksanakan dengan merujuk kepada ketetapan tersebut,"katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut JPNS, berdasarkan ketetapan dalam Surat Siaran KPM Bilangan 1 Tahun 2019, semua aktiviti di luar bilik darjah, termasuk pendidikan jasmani, aktiviti kokurikulum dan sukan, perkhemahan, keraian, perhimpunan serta aktiviti di dewan terbuka, hendaklah dihentikan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.
Ujarnya, murid juga disarankan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya bagi mereka yang mengalami gejala pernafasan atau tergolong dalam kumpulan berisiko.
"Ibu bapa dan penjaga yang bimbang akan kesan jerebu terhadap kesihatan anak-anak boleh memilih untuk tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan ketidakhadiran kepada pihak sekolah.
"JPNS akan terus memantau perkembangan semasa dan menyalurkan maklumat rasmi sekiranya terdapat sebarang perubahan berkaitan pengoperasian institusi pendidikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

