Pengecualian duti setem bantu tangani rumah tidak terjual di Perak

Sandrea ketika meninjau pameran perumahan pada Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2026 di Aeon Mall Kinta City di Ipoh pada Khamis.
Sandrea ketika meninjau pameran perumahan pada Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2026 di Aeon Mall Kinta City di Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Insentif pengecualian duti setem bagi pembelian rumah pertama menerusi Belanjawan 2027 dapat membantu menangani isu rumah tidak terjual yang merekodkan lebih 4,000 unit di negeri ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng berkata, langkah yang dicadangkan Kerajaan Persekutuan itu berpotensi menggalakkan transaksi hartanah, khususnya bagi unit kediaman yang masih belum terjual selepas dilancarkan.

"Apabila Kerajaan Persekutuan mencadangkan pengecualian duti setem, kita melihatnya sebagai satu langkah yang boleh memberikan lebih banyak insentif dalam urusan jual beli hartanah.

"Kita berharap ia dapat memberi dorongan kepada pembeli, termasuk membantu menangani isu unit yang tidak dapat dijual selepas pelancaran," katanya.

Sandrea
Sandrea

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) Perak 2026 di AEON Mall Kinta City di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Perak, Ir Loh Ban Ho.

Sandrea berkata, berdasarkan data sehingga Jun 2026, sebanyak 4,075 unit rumah siap dibina tetapi tidak terjual direkodkan di Perak, merangkumi rumah teres setingkat dan dua tingkat dengan daerah tertinggi melibatkan Kinta, Manjung dan Hilir Perak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam perkara itu, kerajaan negeri melalui Rehda Perak menjalankan kajian bagi menyediakan data terperinci mengenal pasti punca rumah tidak terjual, sebelum merangka cadangan serta strategi yang bersesuaian.

"Hasil penelitian itu juga akan membantu kerajaan negeri mengenal pasti kawasan yang memerlukan perhatian khusus dalam perancangan pembangunan perumahan akan datang.

"Sekiranya terdapat lambakan rumah di kawasan tertentu, kita akan mengambil perkara itu sebagai pertimbangan apabila menerima permohonan pembangunan baharu.

"Kita mahu lebih teliti dalam meluluskan projek supaya isu lambakan unit tidak terjual tidak terus berulang," katanya.

MAPEX Perak 2026 yang berlangsung selama lima hari bermula 14 hingga 18 Oktober di AEON Mall Kinta City di sini, menampilkan penyertaan 23 pemaju hartanah menerusi 30 reruai.

Ekspo berkenaan menawarkan 2,301 unit hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM1.2 bilion, mencerminkan keyakinan pemaju terhadap pasaran hartanah di Perak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!