Tujuh PATI hilang bot karam di perairan Pulau Pisang

Keadaan PATI yang diselamatkan nelayan tempatan ketika dibawa ke Jeti Nelayan Pontian Besar pada pagi Isnin. - Foto Maritim Malaysia
Keadaan PATI yang diselamatkan nelayan tempatan ketika dibawa ke Jeti Nelayan Pontian Besar pada pagi Isnin. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

PONTIAN - Seramai tujuh wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) dikhuatiri lemas manakala enam lagi ditemui selamat oleh nelayan tempatan selepas bot fiber yang dinaiki mereka terbalik dan karam di perairan Pulau Pisang di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai insiden melibatkan 13 PATI berusia 25 hingga 35 tahun itu kira-kira jam 10.10 pagi itu oleh nelayan di Pontian Besar.

"Enam PATI diselamatkan terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita. Salah seorang wanita yang diselamatkan itu difahamkan dalam keadaan kritikal dan telah dihantar ke hospital.

"Hasil soal siasat awal ke atas dua lelaki PATI yang bertindak sebagai tekong bot, mereka maklumkan terdapat tujuh lagi PATI terdiri daripada wanita yang hilang selepas bot mereka dipukul ombak besar pada kira-kira jam 11 malam Isnin," katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Pontian Besar di sini pada Selasa.

Mohamad Shofee (kiri) bersama lima PATI yang ditemui selamat oleh nelayan tempatan di Jeti Nelayan Pontian Besar di sini pada Isnin.
Mohamad Shofee (kiri) bersama lima PATI yang ditemui selamat oleh nelayan tempatan di Jeti Nelayan Pontian Besar di sini pada Isnin.

Menurut Mohamad Shofee, pusat operasi telah dibuka di kawasan Jeti Nelayan Pontian Besar bagi operasi mencari dan menyelamat dilakukan jabatan dan agensi terlibat.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang dijalankan bersama pasukan bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Polis Marin.

"Selain itu nelayan tempatan turut membantu mencari dan menyelamat mangsa. Kawasan pencarian setakat ini tertumpu di perairan Pulau Pisang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Op Carilamat telah diaktifkan sekitar jam 10.20 pagi Selasa

"Sebuah pesawat AW139 dan bot Kilat 12 milik Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi bagi melaksanakan pemantauan mencari baki mangsa yang hilang," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.