X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Gambar lama pembalakan di Hutan Simpan Kledang kembali tular

Gambar dan kenyataan sama yang menyebut 'Hutan Simpan Pun Boleh Dapat Lesen Untuk Ditarah' itu pernah dimuat naik pada 2019. (Gambar kecil: Mohamed Zin)
A
A

IPOH - Perkongsian gambar di media sosial yang mendakwa berlakunya aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kledang Saiong dekat Kuala Kangsar merupakan gambar lama yang ditularkan semula.

Pengarah Perhutanan Negeri, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, gambar dan kenyataan sama yang menyebut 'Hutan Simpan Pun Boleh Dapat Lesen Untuk Ditarah' itu pernah dimuat naik pada 2019.

Menurutnya, berdasarkan rekod jabatan, kawasan tersebut diklasifikasikan sebagai hutan pengeluaran dan satu kelulusan membalak seluas 80 hektar telah diberi oleh pihak berkuasa negeri pada tahun 2018.

"Aktiviti pembalakan telah dijalankan melalui pengeluaran satu lesen pada tahun 2019 dan tamat pada 2020.

"Kerja-kerja pembalakan ini dijalankan mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak jabatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Mohamed Zin berkata, di Perak terdapat seluas hampir 987,000 hektar kawasan telah diwartakan sebagai hutan simpanan kekal di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Katanya, hutan simpan kekal yang diurus berasaskan prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan ini diklasifikasikan kepada Hutan Pengeluaran iaitu meliputi 51 peratus dan Hutan Perlindungan (49 peratus).

"Hutan pengeluaran adalah bagi tujuan pengeluaran hasil-hasil hutan termasuk pengeluaran kayu secara berkekalan melalui aktiviti pembalakan.

"Manakaka Hutan Perlindungan pula adalah bagi tujuan pemeliharaan alam sekitar, bekalan air mentah, perlindungan hidupan liar dan lain-lain lagi," katanya.

Justeru beliau berkata, individu yang memuat naik dakwaan itu di media sosial berkemungkinan telah keliru dengan istilah 'Hutan Simpan Kekal' yang pada anggapan beliau aktiviti pembalakan tidak boleh dijalankan.

"Anggapan beliau adalah tidak tepat kerana hutan simpan kekal klasifikasi pengeluaran boleh dijalankan pembalakan mengikut prosedur dan syarat-syarat yang ditetapkan," katanya.

Minggu lalu tular beberapa gambar di media sosial menunjukkan batang-batang pokok ditebang dan ditarah didakwa berlaku di Hutan Simpan Kledang Saiong.

Susulan itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengarahkan Jabatan Perhutanan Negeri menyiasat kesahihan dakwaan gambar itu memandangkan tiada sebarang laporan berkaitan aktiviti terbabit diterima selain tidak menolak kemungkinan ia adalah gambar lama.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!