Pegawai APAD didakwa salah guna kuasa

Nor Jihan (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan salah guna kuasa bagi kepentingan sendiri pada Disember 2020 dan Mac tahun lalu.
Nor Jihan (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan salah guna kuasa bagi kepentingan sendiri pada Disember 2020 dan Mac tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang pegawai cawangan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Pahang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Selasa atas dua pertuduhan salah guna kuasa bagi kepentingan sendiri pada Disember 2020 dan Mac tahun lalu.

Tertuduh, Nor Jihan Musa, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Ibu kepada dua anak itu didakwa menggunakan jawatannya sebagai Ketua cawangan APAD untuk mendapatkan suapan dengan meluluskan permohonan ubah syarat lesen pengendali atau permit kenderaan barangan syarikat miliknya sendiri.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat APAD Pahang pada 30 Disember 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan jawatan sebagai Ketua Cawangan APAD bagi mendapatkan suapan dengan meluluskan permohonan melesenkan kenderaan mengikut surat tawaran kepada syarikat miliknya di tempat sama, pada 31 Mac 2021.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Sebelum itu, Pegawai Pendakwa SPRM, Nadzirah Zahari menawarkan ikat jamin RM10,000 kepada tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Datuk Zaharman Zainal Abidin meminta pengurangan jaminan atas alasan kesalahan pertama anak guamnya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.