Harga RFID membebankan, gagal berfungsi dengan baik

Kerajaan perlu memastikan kualiti RFID yang dibeli oleh rakyat cukup berkualiti dengan harga yang berpatutan. - Gambar hiasan
Foto Bernama
Kerajaan perlu memastikan kualiti RFID yang dibeli oleh rakyat cukup berkualiti dengan harga yang berpatutan. - Gambar hiasan Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan bahawa kerajaan perlu memastikan kualiti teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang dibeli oleh rakyat cukup berkualiti dengan harga yang berpatutan jika mahu sistem itu terus dilaksanakan.

Pengarah Strateginya, Asmaaliff Abdul Adam berkata, ramai pengguna jalan raya dilaporkan tidak berpuas hati dengan pelaksanaan transaksi tol menggunakan RFID bermula 15 Januari itu.

Menurutnya, harga RFID membebankan untuk sesebuah kenderaan selain isu membabitkan kualiti pelekat RFID yang teruk malah kegagalan RFID berfungsi di plaza tol menyebabkan kesesakan teruk berlaku di lebuh raya.

“Walaupun sistem RFID ini secara umumnya bagus namun ia seharusnya dilaksanakan dengan persediaan yang cukup baik sehingga menyebabkan rakyat menderita.

“Kerajaan tidak seharusnya lepas tangan terhadap kesulitan yang dihadapi rakyat sebaliknya perlu mengambil tanggungjawab penuh akan hal ini

“Gantian terhadap RFID yang rosak dalam tempoh awal adalah perlu dilakukan secara percuma supaya tidak membebankan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan mengulas mengenai laporan beberapa plaza tol Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) yang mengalami kesesakan di kedua-dua hala akibat kegagalan fungsi sistem RFID.

Pada Isnin, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah memanggil PLUS dan Touch 'n Go (TNG) untuk memastikan semua isu berkaitan pelaksanaan RFID segera diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kementerian akan terus memantau dan memastikan PLUS dan TNG menyelesaikan sebarang isu berhubung penggunaan lorong RFID.

“Ini ialah projek rintis, sebelum ini RFID untuk kawasan dalam bandar sudah dilaksanakan dan sekarang PLUS pula melaksanakan di peringkat Lebuhraya Utara-Selatan.

“Memandangkan ia projek rintis, maka ada beberapa perkara yang mereka terpaksa lalui dan akan diselesaikan, malah hanya satu dari lorong tol dipasang RFID.

“Yang lain masih ada SmartTAG dan TNG. Walaupun transaksi tol RFID beroperasi, pengguna masih mempunyai pilihan untuk menggunakan lorong transaksi melalui kad TNG dan SmartTAG,” katanya