X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

25,000 pelajar terima bantuan persekolahan YBR

Megat Zulkarnain (kanan) bertanya sesuatu kepada penerima bantuan persekolahan YBR pada Isnin.
A
A

KUALA TERENGGANU - Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bantuan persekolahan untuk diagihkan kepada 25,000 pelajar dari seluruh negara melalui Program Kembali ke Sekolah YBR pada tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, bantuan tunai sebanyak RM100 seorang kepada murid sekolah rendah dan menengah itu untuk meningkatkan kualiti dan pencapaian pendidikan terutama mereka yang kurang bernasib baik.

"Bantuan ini merupakan inisiatif YBR bagi meringankan tanggungan ibu bapa terutamanya golongan B40 dalam membuat persiapan kembali ke sekolah untuk anak-anak pada tahun ini.

"Insentif ini diharap dapat memberi manfaat kepada mereka untuk membeli kelengkapan sekolah seperti baju, kasut, stoking dan beg sekolah mengikut kesesuaian masing-masing," katanya selepas hadir ke Program Kembali ke Sekolah YBR di Sumai Hotel di sini pada Isnin.

Pada program itu, seramai 150 pelajar di sekitar Kuala Terengganu menerima bantuan melibatkan peruntukan berjumlah RM15,000.

Menurut Megat Zulkarnain, penyampaian bantuan persekolahan tersebut sekurang-kurangnya dapat membantu meningkatkan motivasi murid-murid yang tidak berkemampuan untuk menjalani sesi persekolahan baru sama seperti mereka yang lain.

"Ini merupakan Program Kembali ke Sekolah YBR pertama tahun ini dan ia akan diteruskan ke Pahang pula pada minggu depan dengan sasaran semua penyerahan selesai sebelum sesi persekolahan 2022 bermula Mac nanti," katanya.

Sejak dimulakan pada tahun 2019, seramai 39,397 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM5.12 juta.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!