X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

Polis rampas mercun RM350,000 untuk Tahun Baharu Cina

Kamarul Zaman (kanan) menunjukkan mercun yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Taman Mutiara Emas, selepas sidang akhbar di Markas Marin, Tampoi, Johor Bahru, pada Isnin.
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 250 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun bernilai RM350,000 dalam serbuan di sebuah premis di Taman Mutiara Emas, Skudai di sini pada Ahad.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan pada jam 3 petang semalam turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun yang merupakan pekerja di premis tersebut.

"Menerusi serbuan berkenaan kita melakukan pemeriksaan di seluruh kedai dan menemukan 250 kotak mengandungi 16 jenis mercun dalam bahagian stor di belakang kedai tersebut.

"Kedai itu berselindung di sebalik kedai menjual telefon bimbit. Bagi mengaburi mata pihak berkuasa di luar kotak ditulis Happy Boom iaitu bungai api yang boleh dijual tetapi di dalamnya mengandungi mercun terlarang.

"Serbuan ini dilakukan selepas pihak polis melakukan siasatan dan intipan selama dua hingga tiga minggu di premis berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Markas Marin, Tampoi di sini pada Isnin.

Katanya, semua bekalan mercun tersebut dipercayai untuk dipasarkan sebelum Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Menurutnya, kedai tersebut sudah lama beroperasi menjual telefon bimbit dan pihaknya masih menyiasat sudah berapa lama kegiatan itu dilakukan yang berselindung di sebalik perniagaan itu.

Suspek berkenaan katanya, dipercayai ahli sindiket berkenaan dan ditahan reman selama tiga hari bermula Isnin dan pihaknya masih menyiasat suspek lain yang terlibat.

"Pemeriksaan mendapati penjaga premis berkenaan tidak mempunyai dokumen sah untuk menyimpan dan menjual mercun berkenaan," katanya dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan.

Kamarul Zaman turut meminta orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan sebarang kegiatan atau aktiviti yang menyalahi undang-undang menerusi talian 07-2372222 atau 07-2376122.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!