Polis rampas mercun tanpa permit bernilai RM25,000

Sebahagian daripada mercun yang dirampas pada Isnin. - Foto: PDRM
Sebahagian daripada mercun yang dirampas pada Isnin. - Foto: PDRM
A
A
A

KOTA TINGGI – Polis merampas pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai RM25,000 hasil serbuan di empat premis berbeza di sekitar Kota Tinggi pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, serbuan yang dilakukan mulai jam 8.30 hingga 11.30 malam di empat premis itu mendapati kesemua mercun yang dirampas itu diletakkan dalam 17 kotak besar dipercayai bagi tujuan untuk dijual.

Menurutnya, dalam serbuan berkenaan, polis turut menahan empat lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 20 hingga 50-an.

“Hasil siasatan, pihak polis mendapati, kesemua premis yang diserbu itu didapati tidak memiliki permit menjual mercun dan bunga api daripada pihak berkuasa.

“Semakan rekod juga mendapati keempat-empat lelaki yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Bagaimanapun, kesemua lelaki berkenaan akan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki, menyimpan atau menjual bahan letupan.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.