Gugur Khairuddin tidak pecah-belahkan Pas

Awang
Awang
A
A
A

PENDANG - [DIKEMASKINI] Tindakan menggugurkan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas baru-baru ini tidak memecah-belahkan parti berkenaan.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, tindakan menggugurkan seseorang daripada jawatan adalah perkara biasa bagi sesebuah organisasi.

Katanya, mereka konsensus dalam apa juga hal, dan yakin tidak akan berlaku perpecahan dalam Pas akibat tindakan berkenaan.

"Ini perkara biasa, saya juga berada dalam mesyuarat terbabit pada ketika itu, semua setuju dan akur (keputusan pengguguran)," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan faedah hilang upaya sementara kepada seorang penghantar makanan, Hussain Mohamad Danial, 25, di rumahnya di Kampung Sukamari, di sini pada Ahad.

Menurutnya, beliau juga pernah menghadapi situasi sama apabila digugurkan daripada jawatan Setiausaha Pas Kedah suatu masa dahulu.

"Ia menjadi cabaran kepada saya untuk terus bangun memperbaiki diri dan meningkatkan karier politik," katanya

Ketika diminta mengulas mengenai punca Mohd Khairuddin digugurkan kerana mempertahankan Muafakat Nasional, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Isu pengguguran itu adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Presiden Pas sebelum ini, itulah isunya tiada masalah lain dan itulah yang kita konsensus.

Artikel Berkaitan:

"Dalam organisasi memang begitu, kita panggil ia keputusan secara berjemaah.

"Kadang- kadang ada perkara yang kita fikir betul tetapi tidak selari dengan keputusan organisasi atau jemaah, walau bagaimanapun keputusan ini tidak akan menjejaskan kerukunan dalam Pas," katanya.

Pada Rabu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata pengguguran mana-mana pemimpin adalah perkara biasa dalam Pas, termasuk diberhentikan atau ditukarkan.

Katanya, pengguguran bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu diputuskan pada mesyuarat Pas yang diadakan di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

"Pengguguran itu mestilah mempunyai alasan kerana dalam parti kita ada jawatankuasa disiplin, siapa yang tidak ikut disiplin boleh ditukarkan jawatan dan bertugas di tempat lain, digantung keahlian serta boleh dipecat," katanya.