Keselamatan murid, pelajar di Sabah terancam

Keadaan murid bersesak dalam sebuah bot dan tidak memakai jaket keselamatan mendapat perhatian pelbagai pihak.
Keadaan murid bersesak dalam sebuah bot dan tidak memakai jaket keselamatan mendapat perhatian pelbagai pihak.
A
A
A
KOTA KINABALU - Baru seminggu sesi persekolahan bermula namun nampaknya di Sabah pelbagai isu timbul dan tular di media sosial terutama membabitkan keselamatan murid dan pelajar di beberapa kawasan termasuk di pedalaman.

Perkara ini kita dapat lihat apabila ada beberapa pemilik akaun terutama di aplikasi Facebook menularkan beberapa gambar keadaan murid dan pelajar yang terpaksa meredah pelbagai rintangan untuk ke sekolah.

Antaranya ada murid dan pelajar terpaksa melalui jambatan gantung yang rosak dan berbahaya, terpaksa memanjat tembok berikutan jalan raya sedang dinaik taraf dan terbaharu, sekumpulan murid sekolah menaiki bot dengan tanpa sebarang jaket keselamatan.

Kejadian terbaharu ini mendapat reaksi daripada pelbagai pihak malah pihak berkuasa juga turut memberi amaran keras kepada pengendali bot supaya lebih bertanggungjawab dengan memastikan setiap penumpang sentiasa memakai jaket keselamatan ketika menaiki bot.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah, tindakan drastik telah diambil segera dengan meninjau sendiri masalah yang dihadapi murid terlibat yang mana sungai merupakan laluan untuk mereka ke sekolah.

"Pihak PPM mengambil respons terhadap satu hantaran yang tular di Facebook. Lawatan telah dibuat bagi meninjau murid yang menggunakan bot ke sekolah dan menurut maklumat dari pihak sekolah bahawa murid terbabit sebenarnya sudah dibekalkan jaket keselamatan untuk kegunaan ketika menaiki bot tetapi mereka tidak membawanya bersama," katanya ketika dalam kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, pihak PPM memberi teguran dan amaran keras kepada pengendali bot yang bertanggungjawab menghantar dan mengambil murid berkenaan supaya memastikan mereka sentiasa memakai jaket keselamatan ketika menaiki bot.

"Jaket keselamatan adalah sebagai persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku ketika melalui perairan sungai," katanya.

Sebelum itu, satu hantaran daripada pemilik akaun Facebook A Korn Korn memaklumkan penduduk tiada pilihan lain selain tularkan perkara itu.

Artikel Berkaitan:

"Kepada pihak yang berwajib, kami tiada pilihan lain terpaksa kasi viral kes ini kerana sudah setahun lebih tiada tindakan.

"Tolonglah mana-mana pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) bantu beri bot lebih besar dan jaket keselamatan. Jangan sampai nasi sudah jadi bubur." tulisnya.

Dalam hantarannya itu, turut dipaparkan keadaan murid sekolah kelihatan bersesak di dalam bot tanpa memakai sebarang jaket keselamatan ketika berada di dalam bot.