Faktor kemiskinan antara punca keciciran murid, pelajar

Fadhlina menanyakan sesuatu kepada Najwa Zulkifli semasa membuat lawatan ke Kelas Tingkatan 1 K9 Arus Perdana dan PPKI sempena perasmian Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru sebagai Sekolah Komprehensif 9 (K9) di Kampung Pulau Beluru, Palekbang pada Khamis - Foto: Bernama
Fadhlina menanyakan sesuatu kepada Najwa Zulkifli semasa membuat lawatan ke Kelas Tingkatan 1 K9 Arus Perdana dan PPKI sempena perasmian Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru sebagai Sekolah Komprehensif 9 (K9) di Kampung Pulau Beluru, Palekbang pada Khamis - Foto: Bernama
A
A
A

TUMPAT - Faktor kemiskinan dikenal pasti antara punca masalah keciciran dalam kalangan murid dan pelajar, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, susulan itu Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) sedang mengumpul data bagi menangani isu tersebut.

Katanya namun paling penting dalam soal keciciran pelajar ia bukan sahaja tanggungjawab KPM, sekolah dan guru, malah perlu wujud ekosistem daripada semua pihak termasuk ibu bapa dan komuniti.

"Kebimbangan itu ada kita pun tak defensif dalam soal kebimbangan itu. Sebab itu kita buat intervensi jadi kebimbangan itu diatasi dengan intervensi, jadi komitmen kita tinggi dan kita tidak berseorangan dalam konteks ini kerana ia turut dilakukan oleh NGO dan bersama KPM dan komuniti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru sebagai Sekolah Komprehensif (K9) dekat sini pada Khamis.

Sementara itu mengulas mengenai K9, Fadhlina berkata, langkah mewujudkan sekolah khas tersebut merupakan antara langkah diambil bagi mengatasi masalah keciciran pelajar dan murid.

"SK Pulau Beluru merupakan sekolah pertama K9 di Kelantan. Ini merupakan antara inisiatif KPM untuk menangani keciciran pelajar.

"K9 SK Pulau Beluru ini akan memastikan anak-anak ini berada di sekolah untuk tempoh Tahun Satu hingga Tingkatan Tiga,” katanya.

Fadhlina berkata, ketika ini terdapat 16 sekolah K9 termasuk di Pahang, Selangor, Perak dan Sarawak.

"Kita akan lihat dari semasa ke semasa keperluan untuk menambah bilangan sekolah K9,” katanya. - Bernama