Daniel lantik peguam prosiding semakan jenayah 17 Januari

Kenyataan media PPMM berhubung remaja yang disyaki mencuri tabung masjid yang tular baru-baru ini
Kenyataan media PPMM berhubung remaja yang disyaki mencuri tabung masjid yang tular baru-baru ini
A
A
A

SHAH ALAM - Remaja disyaki mencuri tabung masjid yang tular baru-baru ini, Daniel Iskandar,19, telah melantik peguam dari firma Tetuan Hariz Syakinah & Co untuk mewakili dirinya.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, usaha melantik peguam dari firma tersebut dilakukan dengan bantuan pihak mereka.

Menurutnya, PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co telah mendapat makluman berhubung satu prosiding semakan jenayah yang telah ditetapkan di Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di Shah Alam pada 17 Januari ini.

“Atas dasar tersebut dan di atas arahan untuk mewakili Daniel, maka PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co akan hadir pada hari tersebut.

"PPMM turut merujuk kepada pelbagai versi fakta dan penceritaan berkaitan latar belakang Daniel dan kejadian berkenaan. PPMM berpandangan ia tidak begitu sihat dari sudut keadilan dan kepentingan Daniel, mahupun mana-mana pihak yang berkaitan untuk diteruskan di media sosial.

"Ini terutamanya dalam menghormati prosiding yang akan berlangsung di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Daniel Iskandar dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis kerana cuba mencuri tabung masjid lima hari lalu.

Dia dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkapan 9 Januari lalu dan tambahan jel lima bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Dalam pada itu, Zainul Rijal berkata, PPMM memohon semua pihak untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan sehinggalah prosiding tersebut selesai.

“PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co. akan memberikan kenyataan penuh selepas selesainya prosiding kelak,” ujarnya.