Pura-pura jadi jemaah solat sebelum kebas tabung masjid

Suspek yang berpura-pura sebagai jemaah solat Jumaat yang aktif melakukan kes mencuri duit tabung masjid.
Suspek yang berpura-pura sebagai jemaah solat Jumaat yang aktif melakukan kes mencuri duit tabung masjid.
A
A
A

SABAK BERNAM - Berpura-pura sebagai jemaah solat Jumaat sebelum bertindak meninggalkan saf untuk mencuri duit tabung masjid.

Itu modus operandi dilakukan seorang lelaki berusia 25 tahun yang aktif melakukan kes curi tabung masjid dan surau sebelum kegiatannya terbongkar pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata, lelaki itu ditahan kira-kira jam 1.53 petang menerusi operasi khas 'Op Pintu' di Masjid Padu Permai, Sungai Besar.

"Hasil tindakan pantas polis berjaya menangkap suspek bersama wang curi bernilai RM500 di pekarangan masjid berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Agus Salim berkata, polis turut merampas tabung milik Masjid Padu Permai daripada suspek.

"Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk tindakan lanjut," ujar beliau.

Katanya, hasil soal siasat awal dijalankan suspek mendedahkan perbuatan itu dilakukan kali ketiga dengan modus operandi sama iaitu mencuri wang tabung masjid.

"Suspek dikatakan melakukan perbuatan itu ketika jemaah lain khusyuk menunaikan solat Jumaat dengan bertindak keluar daripada saf dan mengambil wang didermakan jemaah lain di dalam sebuah tabung yang terletak di dalam masjid," jelas Agus Salim.

Beliau memberitahu, hasil saringan awal ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (Curi Dalam Bangunan) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga sampai 10 tahun dan juga denda.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor pada 10 Jun ini untuk permohonan reman bagi memudahkan polis menjalankan siasatan lanjut dan lengkapkan kertas siasatan," katanya.