Peguam dari Johor minat beli Kelantan FC

Catatan Kamal Hisham di Facebooknya pada Ahad. - Foto Facebook Kamal Hisham Jaafar
Catatan Kamal Hisham di Facebooknya pada Ahad. - Foto Facebook Kamal Hisham Jaafar
A
A
A

KELANTAN FC yang dibelasah 10-0 oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi kedua Pusingan 16 Piala Malaysia 2023 di Iskandar Puteri pada Sabtu tetap ada 'nilai' di mata pelabur.

Seorang peguam telah menyuarakan hasrat untuk mengambil alih skuad The Red Warriors (TRW) jika harga yang diletakkan adalah munasabah.

Perkara itu didedahkan oleh pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang memberitahu, tawaran itu diterima daripada orang Johor yang dikenali sebagai Kamal Hisham Jaafar.

Sebelum ini, usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau dikenali Datuk Seri Vida mengemukakan surat rasmi kepada Norizam dalam usaha untuk mengambil alih pengurusan kelab itu.

Turut membuat tawaran ialah usahawan muda yang juga pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif Ruslan yang dikatakan sedia melabur sehingga RM10 juta untuk membeli Kelantan FC.

Lawyer (peguam) Kamal Hisham orang Johor pertama tawar nak beli TRW. Orang Kelantan pula Datuk Vida dan saudara Erfan Gym. Penswastaan, sesiapa pun boleh beli,” kata Norizam menerusi Facebook pada Ahad.

Kamal Hisham sebelum itu membuat catatan di Facebook memberitahu bahawa beliau giat mengkaji untuk membeli TRW sekiranya harga yang ditawarkan adalah munasabah.

Dalam pada itu, Norizam yang terkenal dengan julukan Zamsaham mengulangi permintaannya kepada pembeli yang berminat untuk mengemukakan bukti dana, namun setakat ini masih belum menerimanya.

Artikel Berkaitan:

Norizam - Foto Agensi
Norizam - Foto Agensi

“Setakat ini saya belum terima apa-apa bukti pelan penambahbaikan dan bukti fund (dana) dari yang berminat.

“Kalau sungguh, call dan sit down (duduk berbincang). Hutang lama atau baharu di TRW Kelantan FC saya akan selesaikan, cuma pembeli bayar sekurang-kurangnya modal yang sudah saya keluarkan selama empat musim termasuk bayarkan semula hutang KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan) RM3.8 juta kepada saya semula.

“Pemilik baharu sambung tuntutan kepada KAFA. Saya tak untung tidak mengapa, asal balik modal. Kalau rugi, biarlah bersesuaian,” ujar Norizam.

Norizam mengulangi tawaran kepada yang berminat untuk berhubung dengannya menerusi emel.

“Warga Kelantan ke mana ke, sila email ke zamsaham@gmail.com dan hantar surat tunjuk minat berserta proof of fund (bukti dana).

“Dulu masa TRW di Liga Premier saya beli pun kena buktikan proof of fund dengan membayar deposit RM3 juta terus sebelum bayar habis semua hutang-hutang dengan nilai RM7 juta. Terus buat dan selesai,” katanya.

Beliau turut menyebut bahawa sebarang perubahan yang berlaku dalam pemilikan Kelantan FC akan dimaklumkan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Apa-apa keputusan, saya akan bawa kepada perhatian MFL dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) sebelum saya putuskan penjualan.

“Buat masa sekarang, saya tidak terima apa-apa yang firm dari mana-mana pihak. Yang cakap ramai.

Lawyer Kamal Hisham, boleh call saya. Beliau ada nombor saya. Kita sit down dan bincang,” katanya.