Tiga lelaki ditahan curi tabung masjid

Polis Raub menahan tiga lelaki disyaki terbabit mencuri tabung Masjid Jamek Ulu Gali.
Polis Raub menahan tiga lelaki disyaki terbabit mencuri tabung Masjid Jamek Ulu Gali.
A
A
A

RAUB - Polis Raub menahan tiga lelaki disyaki terbabit mencuri tabung Masjid Jamek Ulu Gali di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Raub, Superitenden Mohd Shahril Abd Rahman memberitahu, ketiga-tiga suspek berusia 18 hingga 25 tahun itu ditahan di tepi jalan di hadapan sebuah tadika di Taman Kurnia Jaya di sini.

Menurutnya, kecurian tabung masjid itu dilaporkan kira-kira jam 1 tengah hari selepas seorang lelaki mendakwa semasa berada di masjid telah mendapati tabung terbabit telah dipecahkan dan duit di dalamnya telah kosong.

"Pemeriksaan ke atas rakaman kamera litar tertutup mendapati tiga lelaki sedang memecahkan tabung masjid dan kemudian melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Proton Saga dipercayai warna hitam.

"Ekoran daripada kejadian tersebut, pihak polis telah berjaya mengesan kesemua suspek dan menangkap mereka di tepi jalan berhadapan sebuah tadika di Taman Kurnia Jaya di sini," kata beliau dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau,sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki mereka dirampas oleh pihak polis.

"Kesemua suspek berasal dari Perak dan Raub dan mereka mengaku terlibat dalam lima kes sama di sekitar daerah ini," ujar Mohd Shahril kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi dalam bangunan.

Dalam pada itu, beliau juga menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling serta kehadiran orang luar yang mencurigakan di sekitar kawasan kediaman dan rumah-rumah ibadah.

"Sebarang maklumat boleh terus disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Raub di talian 09-3552222," ujar beliau.