Banjir: Penternak ikan rugi RM5.6 juta

Gambar hiasan (Gambar kecil: Abdullah)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Abdullah)
A
A
A

KUANTAN - Penternak akuakultur di Pahang yang terjejas banjir diminta segera tampil membuat laporan berhubung segala kerugian dialami di Jabatan Perikanan negeri.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, ini bagi membolehkan mereka menerima bantuan Tabung Bencana Pertanian (TBP) daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akibat kerugian terbabit.

Menurutnya, seramai 251 penternak akuakultur telah mengalami kerugian RM5.6 juta berdasarkan laporan diterima setakat ini.

"Kalau ikutkan jumlah penternak ikan berdaftar seramai 1,700 orang dan sehingga Jumaat kita hanya menerima 251 laporan berhubung kerugian dialami akibat banjir baru-baru ini.

"Jadi, kita juga minta mana-mana penternak yang terkesan segera tampil buat laporan dan membolehkan menyalurkan bantuan kepada mereka dibuat selepas penilaian serta semakan kerosakan dilakukan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau memaklumkan, kebanyakan penternak akuakultur yang berdepan kerugian teruk di sekitar daerah Temerloh, Jerantut, Lipis, Maran dan Pekan.

Jelasnya, kebanyakan sangkar ikan di sepanjang Sungai Pahang di beberapa daerah itu musnah selepas dibawa arus deras air selain ditimpa pokok tumbang.

Tambahnya, selain itu penternak juga berdepan kerugian akan stor makanan ikan rosak dan kematian ikan termasuk ikan terlepas ke Sungai Pahang.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat beberapa estet ikan turut terjejas, antaranya tempat ternakan ikan yang dijaga serta diuruskan oleh ahli komuniti di Estet Ikan Paya Chempaka seluas 15 hektar; Estet Ikan Paya Lanar (25 hektar) dan Estet Ikan Paya Lubuk Kawah (31 hektar) di Temerloh juga ditenggelami banjir menyebabkan ikan terlepas dan keluar daripada tasik itu.

"Justeru, kita jangka jumlah kerugian sebenar adalah lebih tinggi membabitkan semua daerah selepas aduan dan penilaian dibuat secara keseluruhan kerosakan selepas ini," katanya.

Sehubangan itu, Abdullah berkata, pengeluaran akuakultur dan perikanan sungai di Pahang adalah yang tertinggi di Pantai Timur.

Ujarnya, pengeluaran itu dianggarkan mencecah 15,000 tan bernilai lebih RM246 juta bagi akuakultur.