Remaja jilat botol soya, restoran sushi tuntut ganti rugi RM2.21 juta

Tindakan remaja tersebut mendapat kecaman meluas orang ramai di media sosial. - Agensi
Tindakan remaja tersebut mendapat kecaman meluas orang ramai di media sosial. - Agensi
A
A
A

TOKYO - Pengendali rangkaian restoran sushi di Jepun mengemukakan saman dan menuntut ganti rugi berjumlah 67 juta yen (RM2.21 juta) terhadap seorang remaja lelaki berhubung satu rakaman video memaparkan perbuatan defendan menjilat botol soya yang tular di media sosial.

Akindo Sushiro Co memfailkan saman itu di Mahkamah Daerah Osaka pada 22 Mac lalu.

Menurut dokumen mahkamah pada Khamis, plaintif mendakwa defendan mengunjungi cawangan Sushiro di bandar Gifu bersama dua rakan pada 3 Januari lalu dan dirakam menjilat bahagian atas botol kicap soya yang tidak bertutup.

Defendan turut menyentuh dan meletakkan semula pinggan sushi di atas rak bergerak dengan jari yang dicemari air liurnya.

Rakaman video tersebut dimuat naik di media sosial pada 29 Januari dan menyebabkan saham dalam syarikat induk restoran itu menjunam secara mendadak.

Permodalan pasaran syarikat induk Akindo Sushiro jatuh hampir 16 bilion yen (RM528 juta) dari 30 hingga 31 Januari.

Gurauan tidak bertempat itu mencetuskan kemarahan orang ramai dan menimbulkan kekecohan di Jepun, sebuah negara yang terkenal dengan piawaian kebersihan tinggi.

Insiden itu mendorong Akindo Sushiro memasang penghadang plastik di lebih 600 cawangannya di seluruh negara, mengakibatkan kerugian 90 juta yen (RM2.97 juta) dan menyebabkan 'gangguan perniagaan secara paksa'.

'Gangguan perniagaan secara paksa' memperuntukkan hukuman berat di bawah undang-undang Jepun, termasuk kemungkinan hukuman penjara tiga tahun.

Defendan sudah mengemukakan permohonan maaf dan menyatakan kekesalannya dengan pasukan pembelaan menyatakan bahawa remaja tersebut tiada niat menggugat perniagaan Akindo Sushiro.

Video berdurasi 45 saat itu mempopularkan istilah 'keganasan sushi' dan menjadi ikutan anak muda demi menaikkan jumlah pengikut di media sosial. - Agensi