Jiwa kental petugas perubatan

Keadaan laluan yang terpaksa ditempoh anggota PBOA PKD Cameron Highlands untuk sampai ke Kampung Bah Renjis. - Foto FB JKNP
Keadaan laluan yang terpaksa ditempoh anggota PBOA PKD Cameron Highlands untuk sampai ke Kampung Bah Renjis. - Foto FB JKNP
A
A
A

KUANTAN- Pasukan Bergerak Orang Asli (PBOA) Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands terpaksa berjalan kaki tiga jam pergi balik ketika melaksanakan perkhidmatan 'outreach' suntikan vaksin dos penggalak kepada penduduk orang asli di Kampung Bah Renjis, Pos Menson, Cameron Highlands, Selasa lalu.

Lima anggota PBOA ini terpaksa berjalan kaki memandangkan perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Cameron Highlands di Tanah Rata selama sejam hanya setakat di Pos Menson.

Untuk sampai ke Kampung Bah Renjis, mereka terpaksa berjalan kaki selama satu jam 30 minit dengan membawa bersama peralatan perubatan dan ubat-ubatan melalui denai, lurah, bukit dan meniti titi buluh melintasi anak sungai sebelum sampai ke Kampung Bah Renjis.

Laluan dan tempoh masa yang sama juga diambil dalam perjalanan pulang selepas tugas mereka selesai.

Kisah pengorbanan dan cabaran dilalui petugas barisan hadapan itu dikongsi Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) melalui satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, anggota terlibat bertolak dari PKD Cameron Highlands jam 7.30 pagi dan tiba di Pos Menson sejam kemudian.

Anggota PBOA PKD Cameron Highlands memberikan suntikan vaksin dos penggalak kepada penduduk Kampung Bah Renjis melalui perkhidmatan 'outreach' pada Selasa. - Foto FB JKNP
Anggota PBOA PKD Cameron Highlands memberikan suntikan vaksin dos penggalak kepada penduduk Kampung Bah Renjis melalui perkhidmatan 'outreach' pada Selasa. - Foto FB JKNP

"Perjalanan mereka diteruskan dengan berjalan kaki melalui laluan sukar sebelum tiba di kampung itu pada jam 10 pagi.

Artikel Berkaitan:

"Aktiviti pemberian vaksin dos penggalak kepada penduduk kampung dilakukan di kawasan rumah tok batin mengambil masa kira-kira tiga jam sebelum pasukan ini berjalan kaki pulang melalui laluan sama untuk sampai ke Pos Menson dan meneruskan perjalanan menaiki kenderaan," katanya.

Jelas kenyataan itu, tugas berat dipikul petugas tersebut demi memastikan masyarakat orang asli di pedalaman tidak keciciran daripada mendapatkan vaksin dos penggalak sama seperti masyarakat lain yang lebih mudah akses kepada perkhidmatan itu.

"Seramai 30 penduduk menerima vaksin dos penggalak melalui perkhidmatan 'outreach' itu.

"Selain itu, anggota terlibat juga turut mengedarkan pelitup muka dan cecair sanitasi bagi memperkasa amalan normal baharu kepada penduduk kampung," katanya.

Melalui perkongsian itu turut dijelaskan bahawa PBOA bukan diwujudkan untuk program vaksinasi Covid-19 semata-mata sebaliknya ia pasukan bergerak yang telah lama diwujudkan untuk menjaga kesihatan masyarakat orang asli yang tinggal di kawasan pedalaman serta jauh daripada kemudahan fasiliti kesihatan.