Naik kereta antik lebih 10 jam semangat balik mengundi di Kelantan

Empat sahabat sanggup menempuh perjalanan lebih 10 jam dengan menaiki kereta antik semata-mata ingin menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRN Sabtu ini.
Empat sahabat sanggup menempuh perjalanan lebih 10 jam dengan menaiki kereta antik semata-mata ingin menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRN Sabtu ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Empat sahabat sanggup menempuh perjalanan lebih 10 jam dengan menaiki kereta antik semata-mata ingin menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Menurut Wan Zabri Wan Nor, 48 dia bergerak dari Johor Bahru secara konvoi bersama rakan-rakannya iaitu Mohd Firdaus Mat Wi, 34; Addy Paint, 35 dan Wan kasim, 38 selepas Subuh untuk pulang mengundi ke kampung halaman masing-masing di Kelantan.

Katanya, dia berhenti seketika di tepi susur keluar dari Plaza Tol Gemuruh, Kuala Terengganu untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan ke kampung halamannya di Jeli, Kelantan.

"Saya memanfaatkan cuti pada hari ini untuk balik mengundi. Jadi saya bersama tiga orang lagi rakan ambil peluang balik sama-sama ke Kelantan secara berkonvoi dengan menaiki kereta.

"Kami menaiki kereta antik jenis Volkswagen keluaran tahun 1960 sebagai suatu kelainan selain memeriahkan lagi suasana PRN yang hanya berlaku lima tahun sekali," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Mohd Firdaus Mat Wi, 34, berkata, dia tidak melupakan tanggungjawab untuk mengundi pada PRN meskipun perlu menghadiri sebuah acara di Songkhla, Thailand pada Ahad.

"Sebelum pergi ke Songkhla, saya singgah dahulu di Kuala Krai, Kelantan untuk mengundi. Sememangnya tidak akan melepaskan peluang pada kali ini kerana semangat nak mengundi.

"Dengan cara ini adalah peluang untuk memilih wakil rakyat dan kerajaan yang terbaik dengan membawa perubahan dan pembangunan kepada rakyat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Esok, 12 Ogos adalah hari pengundian bagi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Turut diadakan serentak adalah PRK bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!