Mandikan remaja curi tabung masjid sekadar beri pengajaran: Sallehudin

Hantaran Sallehudin di Facebook pada Jumaat.
Hantaran Sallehudin di Facebook pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan imam masjid yang tular memandikan seorang remaja lelaki, Daniel Iskandar, 19, yang cuba mencuri tabung masjid perlu dianggap sebagai memberi pengajaran kepada remaja berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Sallehudin Amiruddin yang bertemu datuk kepada remaja tersebut dimaklumkan, terdapat kekeliruan laporan media pada Khamis berhubung keadaannya yang dilaporkan sakit menyebabkan remaja berkenaan mencuri bagi membeli ubat.

Beliau juga dimaklumkan bahawa tindakan memandikan remaja tersebut dengan cara demikian adalah sebagai pengajaran kepada remaja terbabit agar tidak mengulangi perbuatan berkenaan.

“Seperti saya sebut tadi, memandikan remaja yang disyaki mencuri tabung masjid adalah sebagai pengajaran kepadanya.

“Namun ia terpulang kepada penilaian masyarakat sama ada untuk bersetuju atau tidak bersetuju (dengan tindakan tersebut),” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Dalam pada itu, Sallehudin memuji tindakan imam masjid yang menyerahkan remaja tersebut kepada datuknya terlebih dahulu sebelum membawanya terus ke pihak polis.

Ujarnya, walaupun tujuan asalnya adalah ingin membebaskan remaja terbabit daripada tindakan undang-undang, namun datuk kepada remaja tersebut tetap membuat laporan kepada polis berkenaan perbuatan cucunya.

Pada Khamis, seorang remaja yang tular selepas dijirus air mengikut prosedur mandi jenazah dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang kerana cuba mencuri tabung masjid, 8 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Daniel yang juga penganggur dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap iaitu 9 Januari lalu dan tambahan jel lima bulan, jika gagal membayar denda tersebut.