X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

SPRM perlu bangkit dengan imej tegas, dipercayai

Rais (dua dari kiri) pada sidang akhbar secara dalam talian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) pada Jumaat.
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bangkit dan mewujudkan kembali imej yang tegas serta dipercayai.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, ia perlu bermula dengan semua pegawai pimpinan dari peringkat atas sehingga ke bawah mesti tertakluk kepada prestasi khidmat tanpa cacat cela.

Beliau berkata, ia merupakan cara terbaik untuk menghormati peraturan dan undang-undang ditetapkan.

“Soal adil atau tidak, atau tidak menepati standard tidak timbul jika kita menghormati peraturan dan undang-undang.

“Prinsip itu penting kepada kami. Justeru, kita tidak boleh lari daripada suasana keutuhan undang-undang yang kita amalkan di bawah Rukun Negara,” katanya ketika sidang akhbar secara dalam talian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) pada Jumaat.

Turut bersama dalam sidang akhbar tersebut Senator Zaiedi Suhaili, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Dalam pada itu, Rais berkata, pihaknya menerima pandangan terbuka supaya SPRM diletakkan di bawah institusi Parlimen.

Menurut beliau, walau bagaimanapun, kerajaan perlu menjadikan satu dasar bahawa institusi itu adalah yang tepat dan terbaik sebagai tempat pengendali rasuah dengan penyeliaan pelbagai pihak menerusi demokrasi Parlimen.

“Justeru, Dewan rakyat dan Dewan Negara boleh wujudkan Jawatankuasa pilihan bersama.

“Jadi di situ, kami boleh merunding, melihat, menyiasat dan menasihatkan kerajaan apa yang perlu dilakukan dan tidak hanya tertumpu kepada seseorang atau entiti sahaja seperti keadaan sekarang,” ujarnya.

Jelas beliau, Dewan Negara sudah mengadakan jawatankuasa pilihan berhubung integriti dan diharap ia dapat dilaksanakan di Dewan Rakyat.

“Kami telah berbincang dan tidak akan menimbulkan syak wasangka ataupun hal yang merungsingkan selepas sesi ini diadakan,” katanya.

Pada 26 Julai 2021, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dilantik sebagai pengerusi baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) berkuat kuasa 15 Julai lepas untuk tempoh tiga tahun.

Turut dilantik enam anggota baharu yang terdiri daripada empat senator dan dua ahli Parlimen.

Mereka ialah Naib Presiden Pas; Senator Idris Ahmad, Senator Ir Md Nasir Hashim, Senator Zaiedi Suhaili, Senator Raj Munni Sabu, Ahli Parlimen Bukit Bendera; Wong Hon Wai dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!