Isu Azam Baki, SPRM terus jadi topik hangat

Azam - Foto Bernama
Azam - Foto Bernama
A
A
A

ISU pemilikan saham membabitkan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dijangka terus menjadi topik hangat minggu ini.

Kehangatan isu tersebut dijangka berterusan apabila Azam menegaskan tidak akan akur dengan desakan mana-mana pihak untuk beliau melepaskan jawatan susulan kontroversi yang melanda dirinya.

Sebaliknya, kata beliau, hanya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM

Pada Khamis, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bakal mengadakan satu mesyuarat khas pada 19 Januari ini bagi membincangkan kontroversi jual beli saham membabitkan Azam.

Menurut laporan The Star, notis yang dihantar kepada Ahli Parlimen pada pagi Rabu oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin berkata, mesyuarat itu akan diadakan di Parlimen pada jam 2 petang, Rabu depan.

“Mesyuarat ini adalah untuk membincangkan isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM,” menurut notis tersebut.

Dalam pada itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa kerajaan untuk membuat pindaan kepada Akta SPRM 2009 bagi menambah baik isu berkaitan integriti dalam agensi berkenaan.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, usaha itu bagi membolehkan kaedah perundangan baharu dibuat selepas akta sedia ada dilihat gagal memantau isu dalaman yang berlaku dalam agensi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Azam telah diminta hadir ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 19 Januari depan.

Memetik laporan Malaysia Kini pada Khamis, Ahli PSC, Chan Foong Hin berkata, pihaknya telah diberitahu bahawa satu surat telah dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin yang meminta Azam untuk hadir ke mesyuarat itu bagi membincangkan isu pemilikan jutaan saham dalam dua buah syarikat tersenarai baru-baru ini.

Foong Hin ketika ditanya sama ada Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang turut dipanggil, beliau berkata, difahamkan hanya Azam yang akan hadir ke mesyuarat itu.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diharap dapat memberi respons segera tentang cadangan reformasi struktur SPRM.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Cynthia Gabriel menegaskan, ia kerana keyakinan rakyat terhadap kerajaan ketika ini rendah ekoran kes membabitkan SPRM.

Dalam pada itu, Penubuhan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (IACC) dilihat sangat penting dalam meningkatkan kewibawaan SPRM dan kepercayaan orang ramai terhadap institusi penting tersebut.

Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Dr Badlishah Sham Baharin berkata, cadangan penubuhan IACC itu merupakan solusi terbaik untuk memperkasakan SPRM, setelah suruhanjaya itu terpalit dengan pelbagai isu sejak berapa tahun lalu.

Selain itu, empat badan yang mengawal SPRM dicadangkan supaya dianggotai masyarakat sivil dan penjawat awam seperti yang diamalkan di Indonesia dan Korea.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh berkata, keahlian empat badan terbabit iaitu LPPR, Jawatankuasa Aduan (CC), Panel Penilai Operasi (ORP) dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) perlu terdiri daripada 40 peratus masyarakat sivil dan 60 peratus sektor awam.