Azam Baki minta semua sabar, kebenaran akan terungkap

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

SHAH ALAM - Dua tiga hari ini negara masih belum reda isu pemilikan jutaan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang memaklumkan bahawa pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki.

Bagaimanapun, kenyataan beliau ditentang oleh enam ahli LPPR yang menegaskan kenyataan Abu Zahar itu adalah pendapat peribadi beliau semata-mata.

Enam ahli LPPR terbabit ialah Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Profesor Datuk Mohammad Agus Yusoff.

Situasi itu membangkitkan lebih banyak persoalan dan persepsi negatif tanpa ada jawapan yang pasti.

Susulan itu, Abu Zahar pada Selasa memaklumkan dalam sidang media bahawa beliau bersedia untuk disiasat oleh mana-mana pihak atau organisasi pada bila-bila masa.

Abu Zahar menjelaskan, beliau terkejut apabila kesemua enam ahli LPPR itu mengadakan mesyuarat antara mereka tanpa memberitahu beliau terlebih dahulu dan telah mengeluarkan kenyataan media pada Sabtu lalu.

Ia kerana sebelum itu Abu Zahar telah mengatakan persetujuan untuk mengadakan perjumpaan tertutup ahli LPPR pada jam 10 pagi, 11 Januari 2022 di Akademik SPRM, Jalan Duta Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukannya sebagai Pengerusi LPPR sekiranya kenyataan media yang dibuat beliau telah menimbulkan salah faham sehingga ke tahap menjatuhkan nama baik SPRM secara keseluruhannya.

Bagaimanapun dalam kekecohan itu, sosok yang menjadi subjek perbincangan iaitu Azam sendiri pada Selasa meminta agar semua pihak bersabar kerana katanya, kebenaran akan terungkap tidak lama lagi.

Beliau sendiri telah menyerahkan dirinya kepada jawatankuasa-jawatankuasa SPRM untuk menyiasat dan percaya kebenaran akan diketahui semua orang satu hari nanti.

Ujarnya, beliau sendiri yang akan menunjukkan kebenarannya pada masa dan waktu yang sesuai.