Bongkar 'part time' jual mercun

Hazri
Hazri
A
A
A

KLANG - Pasukan Polis Marin (PPM) mengesan terdapat individu yang mengambil kesempatan menjual mercun sebagai 'part time' menjelang musim perayaan.

Mendedahkan hal itu, Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Hazri Zakaria berkata, berdasarkan statistik kejayaan pihaknya, ada kes dilaporkan pada tahun lalu menerusi serbuan pada April.

Menurutnya, serbuan di premis itu berjaya merampas pelbagai jenis mercun bernilai kira-kira RM75,000 selain penahanan lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an.

"Berdasarkan soal siasat yang dilakukan, kegiatan itu dijalankan secara sorok-sorok dan menjadikan medium online (dalam talian) dalam kalangan rakan kampung.

"Kita percaya kegiatan penjualan mercun ini bermusim dan individu terbabit hanya menjual sebagai sumber pendapatan sampingan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tegas beliau, pihaknya akan terus meningkatkan pemantauan bagi mengekang sebarang kegiatan penyeludupan seperti mercun, minuman keras dan rokok.

Katanya, sekiranya mana-mana individu dikesan terlibat akan dikenakan tindakan di bawah Akta Bahan Letupan 1957.

Pada 10 Januari lalu, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 98 kotak mercun dan 35 kotak rokok tidak bercukai bernilai RM509,350 di sebuah rumah di Kampung Pasir Rasah Seremban, Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, serbuan yang dijalankan pegawai dan anggota Cawangan Risik Briged Tengah PGA pada jam 5.12 petang itu turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun bagi membantu siasatan.