Pelajar Tingkatan 1 SBP hilang ditemukan di masjid

Maklumat kehilangan pelajar berkenaan di kongsi di media sosial bertujuan meminta bantuan dan keprihatinan orang ramai mengesan mangsa yang hilang.
Maklumat kehilangan pelajar berkenaan di kongsi di media sosial bertujuan meminta bantuan dan keprihatinan orang ramai mengesan mangsa yang hilang.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar yang dilaporkan hilang sejak petang Jumaat ditemukan selamat kira-kira empat jam kemudian.

Pelajar berusia 13 tahun itu ditemukan polis di sebuah masjid di Taiping sekitar jam 10 malam selepas usaha mengesannya dijalankan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan pelajar berkenaan daripada ibunya pada jam 6.07 petang.

Menurutnya, ibu pelajar terbabit membuat laporan selepas dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai kehilangan anaknya.

"Kes diklasifikasikan sebagai kes orang hilang dan usaha mengesan pelajar berkenaan giat dijalankan bersama pihak sekolah serta ahli keluarga.

"Hasil maklumat disalurkan orang awam, pelajar itu berjaya ditemukan polis di daerah Taiping sebelum diserahkan semula kepada ibu bapanya dalam keadaan baik dan selamat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu, maklumat kehilangan pelajar berkenaan di kongsi di media sosial bertujuan meminta bantuan dan keprihatinan orang ramai mengesan mangsa yang hilang.

Kejadian itu mendapat perhatian umum, susulan kes seorang pelajar Tingkatan 3 dari SBP sama yang ditemui meninggal dunia di bangunan sekolah yang dilaporkan Rabu lalu.

Heisham berkata, kedua-dua kejadian itu sama sekali tidak mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu yang boleh menjejaskan siasatan polis," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!