SPAN lancar polisi integriti dan anti rasuah

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara(SPAN) melancarkan polisi integriti dan anti rasuah.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara(SPAN) melancarkan polisi integriti dan anti rasuah.
A
A
A

CYBERJAYA - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyarankan agar semua pembekal serta agensi air mengikut polisi integriti dan anti rasuah yang dilancarkan.

Polisi ini dijadikan sebagai panduan untuk mengendali, melaksana dan mentadbir urus perkara berkaitan integriti dan anti rasuah dalam industri perkhidmatan air di semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengerusi SPAN, Charles Anthony Santiago berkata, polisi ini menggariskan lima panduan dan keperluan untuk mencegah amalan rasuah, serta salah guna kuasa dalam industri air.

"Saranan ini meliputi kepada keseluruhan warga Span dan pihak yang dikawal selia serta semua jenis pembekal yang berkaitan.

"Sekali gus polisi integriti ini dapat meningkatkan ketelusan dan kawal selia dalam tadbir urus industri perkhidmatan air," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara(SPAN) di Cyberjaya.

Katanya, industri perkhidmatan air di Malaysia membawa jumlah pendapatan sebanyak RM5.875 bilion dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM7.694 bilion.

"Jumlah perbelanjaan ini tidak termasuk perbelanjaan modal pada 2017, terdapat empat negeri iaitu Pahang, Perlis, Sabah dan Selangor mengalami kerugian.

Artikel Berkaitan:

"Untuk sektor perkhidmatan pembetungan, jumlah pendapatan sebanyak RM698.65 juta manakala jumlah perbelanjaan adalah sebanyak RM991.26 juta," katanya.

Charles Anthony Santiago(tengah) ketika dalam sidang media di pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara(SPAN) di Cyberjaya.
Charles Anthony Santiago(tengah) ketika dalam sidang media di pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara(SPAN) di Cyberjaya.

Jelasnya dengan pelancaran polisi ini sekali gus membolehkan kualiti perkhidmatan air kepada rakyat dapat ditingkatkan.

"Dalam soal ini, SPAN komited untuk mewujudkan budaya berintegriti dan ketelusan di tempat kerja serta mengadakan dan menambah baik program integriti dan anti rasuah secara berterusan.

"Dalam masa sama memastikan semua warga SPAN, pemegang lesen, ejen yang dilantik dan pembekal adalah bertanggungjawab dalam mematuhi undang-undang anti rasuah dan peraturan sedia ada," ujarnya.

Tambahnya, pada masa sama SPAN mengambil tindakan selaras dengan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang anti rasuah atau tidak mematuhi polisi ini.

"SPAN sebagai badan kawal selia industri perkhidmatan air mengamalkan toleransi sifar terhadap amalan rasuah atau segala aktiviti berunsur rasuah dan tidak akan bertolak ansur dan akan bertindak tegas bagi membanteras amalan rasuah atau sebarang aktiviti berunsur rasuah.

"Dengan adanya polisi ini diharapkan dapat menjadi panduan kepada semua penggiat industri serta pemegang taruh dalam melaksanakan program serta aktiviti bagi meningkatkan kesedaran berkenaan kepentingan integriti," katanya.