Banjir tiada kaitan aktiviti pembalakan

Sebuah rumah yang dipenuhi timbunan kayu pokok tumbang di Pantai, Seremban dalam kejadian banjir bulan lalu bukan disebabkan aktiviti pembalakan.
Sebuah rumah yang dipenuhi timbunan kayu pokok tumbang di Pantai, Seremban dalam kejadian banjir bulan lalu bukan disebabkan aktiviti pembalakan.
A
A
A

SEREMBAN - Kejadian bencana banjir yang berlaku di beberapa daerah di Negeri Sembilan baru-baru ini tiada kaitan dengan aktiviti pembalakan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, timbunan kayu yang hanyut di kawasan perumahan di Pantai, Seremban akibat banjir bulan lalu merupakan kayu reput dan kerja-kerja pembersihan di lokasi itu hanya mengambil masa dua hari.

"Saya jemput semua kalau nak lihat sendiri, daripada kita hanya bercakap, boleh datang dan lihat sendiri apa yang berlaku di Gunung Berembun.

"Ambil gambar dan boleh nilaikan sendiri sama ada kawasan itu kawasan pembalakan atau pun apa yang berlaku adalah kejadian alam," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Beliau beranggapan, gambar sebuah rumah yang dipenuhi timbunan kayu pokok tumbang di Pantai di sini dalam kejadian banjir bulan lalu telah mengundang persepsi kononnya ia berpunca daripada aktiviti pembalakan.

"Saya tak tahu di tempat lain, bagi saya di Negeri Sembilan ia bukan isu pembalakan," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, kerja-kerja pembaikan dan pembinaan semula Taman Eko Rimba Jeram Toi yang musnah akibat banjir pada Disember lalu akan dilakukan secara berfasa.

"Kita ada satu tempat menarik di Jeram Toi dan sekarang kita kehilangan keseluruhannya. Bangunan yang ada di sana pun semuanya musnah dan apa yang tinggal hanya batu-batu dan aliran air baru.

Artikel Berkaitan:

"Semalam (Selasa) saya bersama Pengarah Jabatan Perhutanan dan beberapa pengarah lain telah ke sana untuk lihat semula bagaimana kita boleh majukan semula kawasan itu dengan lebih baik dan teratur sekali gus meletakkannya semula sebagai destinasi pelancongan di negeri ini. Sebagai permulaan kerja pembaikan akan melibatkan kos antara RM2 juta sehingga RM3 juta," katanya.

Aminuddin berkata, kerja-kerja pembaikan itu memerlukan perancangan teliti dan beliau tidak mahu ia dilaksanakan secara tergesa-gesa yang akhirnya mengorbankan keindahan yang ada.

Katanya, kerja-kerja pembersihan kolam tadahan Loji Rawatan Air Pantai yang terjejas akibat banjir turut mengambil masa panjang kerana ia dipenuhi batu-batu besar dan jentera sukar masuk ke kawasan itu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kemusnahan pusat rekreasi berkenaan dalam kejadian banjir pada 20 Disember lalu.