X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

PRN Johor: Pembangkang gesa MB beri kata putus

AMINOLHUDA
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad digesa supaya segera memberi kata putus sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diadakan dalam masa terdekat atau sebaliknya.

Ketua Pembangkang Johor, Aminolhuda Hassan berkata, ramai yang tertanya-tanya termasuk ahli politik kerana PRN didakwa akan diadakan di Johor selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama lagi.

Beliau berkata, perkara itu meningkatkan lagi suhu politik Johor yang dikhuatiri menyebabkan fokus terhadap isu utama seperti membantu rakyat terjejas akibat Covid-19 dan banjir serta memulihkan ekonomi, akan terganggu.

"Maklum balas Menteri Besar mengenai sama ada PRN akan diadakan dalam tempoh terdekat atau tidak adalah kurang jelas. Walaupun khabar angin yang bertiup kencang ini bermula dari parti mereka juga.

"Umumkan segera tarikhnya sekiranya benar PRN mahu diadakan. Jadilah 'gentleman'. Dengan itu politiking yang keterlaluan ketika ini dihentikan, sekali gus fokus dapat diberikan kepada untuk membantu rakyat yang terjejas dan pemulihan ekonomi negeri," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Sementara itu, Aminolhuda yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor menegaskan, PH Johor sebulat suara membuat ketetapan tidak akan mengganggu kerajaan negeri di bawah gabungan Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas yang hanya berkelebihan satu kerusi.

"PH tidak akan ganggu kerajaan negeri, biarlah sampai habis penggal 2023 walaupun cuma majoriti satu kerusi.

"PH kini mempunyai 27 kerusi dan kerajaan negeri ada 28 kerusi selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas daripada Bersatu, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lalu," kata beliau.

Bagaimanapun, katanya, jika benar PRN tetap mahu diadakan, ia bukanlah masa yang sesuai kerana tindakan itu akan menimbulkan kemarahan rakyat terutama terhadap ahli politik.

"Selepas peralihan tampuk pimpinan kerajaan kepada Hasni pada dua tahun lalu, perbezaan ketika itu hanya dua kerusi. Sekiranya PH hendak menjatuhkan kerajaan, sudah lama kita lakukan.

"Tetapi saya tegaskan bahawa PH berpandangan ini bukan masanya untuk berdepan dengan PRN. Fokus PH adalah untuk membantu rakyat yang berdepan dengan pelbagai isu seperti Covid-19, ekonomi dan bencana banjir," katanya yang juga ADUN Parit Yaani.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan jumlah majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang hanya berbeza satu kerusi dimiliki kerajaan kini akan menjadi elemen yang dipertimbangkan sekiranya PRN mahu diadakan.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pihaknya perlu mengambil pendekatan secara berperingkat dalam menentukan keputusan termasuk reaksi dan situasi terkini politik negeri.

Khabar angin pembubaran DUN Johor bagi membolehkan PRN diadakan bertiup kencang sejak berakhirnya sidang DUN Khas pada Khamis lalu.

Pelbagai ura-ura diperkatakan termasuk ada antara wakil rakyat mewakili kerajaan negeri kini mengisytiharkan sebagai ADUN Bebas dan tarikh berlangsungnya PRN Johor dijangka berlaku selewat-lewatnya Februari depan.

Bagaimanapun, pada Ahad, ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor dilaporkan menolak dakwaan itu, sekali gus menafikan khabar angin beliau individu yang dikaitkan akan menjadi ADUN Bebas.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!