Kes bunuh Dr Fadi: PDRM tunggu maklumat Palestin, Interpol

 Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani
Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu maklumat daripada pelbagai pihak berhubung kes pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi Mohammed Al Batsh di Kuala Lumpur pada tahun 2018.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa Palestin, Kedutaan Palestin, Polis Antarabangsa (Interpol) dan lain-lain agensi berkaitan.

"Kita percaya daripada maklumat itu kita dapat memberi sedikit pencerahan terhadap insiden terbabit," katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri Program Pendidikan dan Kemahiran Awal Murid Autisme di Pusat Autisme PDRM, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Pada Isnin lalu, media melaporkan PDRM akan mendapatkan pengesahan daripada sumber-sumber yang sah berhubung dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman bahawa pembunuh warga Palestin, Dr Fadi Mohammed Al Batsh sudah ditangkap oleh pihak keselamatan Gaza.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya akan mendapatkan pengesahan yang jelas terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Terdahulu, Muhammad Nadir Al-Nuri dalam hantaran di laman Facebook mendedahkan pembunuh pensyarah warga Palestin tersebut sudah ditahan oleh pihak keselamatan Gaza.

Dakwanya, pembunuh tersebut masuk ke Gaza dan menghubungi pihak penjajah untuk meminta duit dan perbualannya diintip pihak keselamatan Gaza sebelum ditangkap.

Sebelum ini, media melaporkan pembunuhan Fadi pada 2018 itu dipercayai didalangi Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel iaitu Mossad.

Artikel Berkaitan:

Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash yang mengeluarkan kenyataan itu berkata, dua suspek dipercayai ejen Mossad yang berada di Malaysia menaiki motosikal BMW telah melepaskan tembakan dari jarak dekat.

Pembunuhan Fadi mendapat liputan meluas berita di Asia Barat dan kecoh apabila Khaled mengeluarkan kenyataan mendakwa pembunuhan itu didalangi serta dirancang oleh Mossad.