Terima rasuah: Bekas Penolong Pegawai Perpaduan didenda RM4,000

Fatimah (kanan) ditemani suaminya ketika keluar dari Mahkamah Sesyen di Melaka pada Rabu atas dua pertuduhan menerima suapan.
Fatimah (kanan) ditemani suaminya ketika keluar dari Mahkamah Sesyen di Melaka pada Rabu atas dua pertuduhan menerima suapan.
A
A
A

MELAKA - Seorang bekas Penolong Pegawai Perpaduan Daerah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima suapan pada November 2017.

Tertuduh, Fatihah Azmi, 34, didenda sebanyak RM4,000 selepas membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan di sini pada Rabu.

Berdasarkan pertuduhan, Fatihah ketika itu merupakan seorang penjawat awam iaitu Penolong Pegawai Perpaduan Daerah yang bertugas di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka.

Tertuduh didakwa menerima suatu benda yang berharga iaitu wang tunai tanpa balasan kesemuanya berjumlah RM3,200 daripada seorang individu.

Tertuduh juga mengetahui bahawa individu terbabit mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur serta di Taman Cheng Baru, Melaka pada 5 dan 6 November 2017.

Untuk dua pertuduhan tersebut, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), A Kalai Vani, manakala peguamnya diwakili Azrul Zulkifli Stork.

Artikel Berkaitan:

Dalam rayuannya, Azrul Zulkifli memohon hukuman rendah diberikan kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh didenda sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda yang dikenakan.