Bekas pekerja hiasan dalaman didakwa gubah wang haram

SHAH ALAM, 12 Jan -- Seorang bekas pekerja hiasan dalaman didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas empat pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM227,000, dua tahun lepas. Foto Bernama
SHAH ALAM, 12 Jan -- Seorang bekas pekerja hiasan dalaman didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas empat pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM227,000, dua tahun lepas. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang bekas pekerja hiasan dalaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM227,000, dua tahun lepas.

Nur Aliyyah Habibah Jackson Ghani, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Helina Sulaiman.

Mengikut dua pertuduhan, Nur Aliyyah Habibah didakwa memindahkan RM180,000 daripada akaun semasa milik sebuah syarikat yang merupakan hasil aktiviti haram ke dalam akaun semasa seorang individu berusia 64 tahun.

Bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa melupuskan wang tunai berjumlah RM47,000 dari akaun semasa milik syarikat yang sama, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah cawangan bank tempatan di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Hulu Langat dekat sini di antara 7 hingga 20 April 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Vivien Yeap Jie Xi sebelum itu menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap satu pertuduhan bersama seorang penjamin dan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Peguam Muhammad Nor Izzat Nordin memohon jaminan RM5,000 keseluruhan bagi kesemua pertuduhan memandangkan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Muhammad Nor Izzat turut memohon keempat-empat pertuduhan pada Rabu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 11 di sini di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir bagi dibicarakan bersama dengan satu lagi kes di bawah Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang dihadapi tertuduh.

"Anak guam saya juga pernah dijamin RM15,000 bagi satu pertuduhan dihadapinya bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 pada Oktober 2020 yang akan dibicara pada 24 Januari ini," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan membenarkan permohonan keempat-empat kes hari ini untuk dibicara bersama dengan pertuduhan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 di Mahkamah Sesyen 11 pada 24 Januari depan. - Bernama