Trend 'unboxing' isteri bawa keruntuhan institusi keluarga

Ahmad Marzuk
Ahmad Marzuk
A
A
A

PUTRAJAYA - Trend 'unboxing' isteri bakal membawa kepada keruntuhan institusi sesebuah keluarga.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, bakal ibu bapa merupakan tonggak institusi keluarga daripada awal lagi sudah tidak mengikut nilai yang betul, apatah lagi mahu memupuk moral anak-anak.

"Masyarakat hari ini hidup di zaman bercampur baur antara perkara yang halal dan haram," katanya.

Menurutnya, ia bukan perkara yang pelik apabila fungsi media sosial dioptimumkan sepenuhnya untuk mengumpul kekayaan melalui populariti dan jumlah pengikut.

"Sedikit sebanyak tempias ini turut menjejaskan nilai-nilai dalam sebuah institusi keluarga Islam.

Pasangan suami isteri tidak lagi menghiraukan maruah sehingga sanggup mendedahkan aib pasangan demi sebuah kandungan," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya memandang berat peranan keluarga sebagai sebuah institusi pencorak masyarakat dengan memperkenalkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) Tahun 2019–2025 oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Pelan ini diperkenalkan bertujuan menangani gejala sosial dalam kalangan umat Islam di negara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Antara langkah yang diperkenalkan ialah memastikan agensi di bawah jabatan itu memanfaatkan penggunaan media dan platform media sosial bagi mempromosikan nilai murni dalam institusi kekeluargaan Islam.

"Perancangan kerajaan memerlukan kepada kerjasama holistik daripada semua lapisan masyarakat bagi membendung gejala sosial yang melanda umat Islam pada hari ini," katanya.

Justeru, beliau menyeru semua pihak mengambil tindakan proaktif dengan mempromosi nilai keluarga Islam terutamanya di saluran media baharu.

'Unboxing' isteri menjadi ikutan terutama di platform aplikasi Tiktok dengan memaparkan rakaman seorang suami membuka pin tudung isteri yang baru dinikahinya.