Penganjur pertandingan tarian singa dikompaun

Rakaman yang tular di media sosial.
Rakaman yang tular di media sosial.
A
A
A

SERDANG - Polis telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap penganjur pertandingan tarian singa kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara di sebuah pusat membeli belah di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya mengesan sebuah video tular yang memaparkan orang ramai berkumpul menyaksikan persembahan tarian singa sempena sambutan Tahun Baru Cina.

"Sepasukan anggota polis telah membuat pemantauan dan pemerhatian pada jam 7.30 petang, hari sama dan mendapati pengunjung berkumpul tanpa penjarakan fizikal.

"Kami mengambil tindakan dengan mengeluarkan kompaun kepada penganjur di atas kegagalan memastikan penjarakan fizikal oleh penonton yang hadir," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati penganjur mempunyai surat kelulusan permit sementara daripada pihak berkuasa tempatan untuk menganjurkan pertandingan tarian singa tersebut.

"Kompaun yang dikeluarkan adalah mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, " katanya.

Anbalagan turut menasihatkan masyarakat supaya sentiasa peka dan mengikuti SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dalam mengadakan sebarang aktiviti mahupun perhimpunan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan: