Lelaki panjat rangka cermin KLIA dipercayai ada masalah mental

Tular video di media sosial memaparkan seorang individu bertindak memanjat rangka cermin di bangunan Satelit KLIA.
Tular video di media sosial memaparkan seorang individu bertindak memanjat rangka cermin di bangunan Satelit KLIA.
A
A
A

SEPANG – Lelaki yang memanjat rangka cermin bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi satu video tular pada Sabtu dipercayai mengalami masalah mental sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.56 petang ketika lelaki warga Nepal berusia 50 tahun itu berada di sekitar pintu pelepasan antarabangsa G6, Terminal 1 KLIA.

"Lelaki berkenaan pada awalnya membuat bising dan mengganggu ketenteraman orang awam sebelum bertindak memanjat rangka cermin bangunan Satelit KLIA di lokasi kejadian.

"Anggota kawalan keselamatan terminal yang tiba di lokasi berjaya menenangkan lelaki berkenaan sebelum membawanya ke Balai Polis Terminal 1 untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tular video di media sosial memaparkan seorang individu bertindak memanjat rangka cermin di bangunan Satelit KLIA di sini.

Tindakan lelaki terbabit kemudiannya dirakam orang ramai sebelum video berkenaan tular di media sosial.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati lelaki itu dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke Nepal pada hari kejadian, kira-kira jam 6 petang.

Katanya, berdasarkan keterangan seorang saksi yang juga rakan lelaki berkenaan, dia dipercayai mengalami masalah mental sejak beberapa bulan lalu, namun enggan mendapatkan rawatan.

"Suspek kemudian dibawa ke Hospital Kajang dan ditempatkan di Wad Psikiatrik untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Pihak Kedutaan Nepal juga sudah dimaklumkan berhubung kejadian ini," katanya.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak benar yang boleh menimbulkan kegusaran awam, khususnya di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!