Tiada insiden tidak diingini walaupun dua kumpulan himpunan bertembung - Polis

Polis sahkan tiada insiden tidak diingini berlaku susulan pertembungan dua himpunan di ibu kota.
Polis sahkan tiada insiden tidak diingini berlaku susulan pertembungan dua himpunan di ibu kota.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan berlaku susulan pertembungan dua kumpulan peserta himpunan yang berlangsung di ibu negara pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, keadaan ketika kedua-dua kumpulan bertembung di hadapan sebuah pusat beli-belah bagaimanapun agak tegang sebelum berjaya dikawal sepenuhnya oleh pihak polis.

Menurut beliau, dua himpunan berasingan itu berlangsung serentak bermula jam 1 tengah hari hingga 4.30 petang di hadapan Kompleks Sogo dan sebuah pusat beli-belah berdekatan.

“Himpunan di hadapan Kompleks Sogo dianjurkan oleh Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM), manakala satu lagi diadakan oleh Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

“Pada jam 2.30 petang, peserta himpunan di Sogo mula berarak menuju ke Dataran Merdeka sebelum kedua-dua kumpulan bertembung di hadapan pusat beli-belah berkenaan antara jam 3.10 petang hingga 3.20 petang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu, suasana tegang dilaporkan berlaku di Jalan Tuanku Abdul Rahman apabila peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah bertembung dengan peserta Himpunan Daulat Tuanku.

Bagaimanapun, situasi itu hanya melibatkan laungan dan pekikan daripada kedua-dua kumpulan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Ahmad Azwan berkata, tindakan kawalan keselamatan segera dilaksanakan bagi memastikan keadaan kekal terkawal.

“Kesemua himpunan berakhir dengan aman apabila kumpulan di hadapan pusat beli-belah bersurai pada jam 3.50 petang, manakala peserta dari Kompleks Sogo menamatkan program di Dataran Merdeka pada jam 4.30 petang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jumlah keseluruhan peserta bagi kedua-dua himpunan dianggarkan seramai 140 orang, terdiri daripada 60 peserta di Kompleks Sogo dan 80 peserta di lokasi berhampiran pusat beli-belah berkenaan.

Menurutnya, seramai 129 anggota polis termasuk 19 pegawai kanan dan 110 pegawai rendah polis ditugaskan menerusi Op Aman bagi memastikan keselamatan sepanjang acara berlangsung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!