Tindakan tegas jual sijil digital vaksinasi

Polis meminta individu yang ditawarkan membeli sijil digital vaksinasi dalam MySejahtera membuat laporan agar tindakan dapat diambil.
Polis meminta individu yang ditawarkan membeli sijil digital vaksinasi dalam MySejahtera membuat laporan agar tindakan dapat diambil.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan menjual sijil digital vaksinasi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya kini sedang memantau kegiatan tersebut.

Beliau turut menasihatkan individu yang ditawarkan membeli sijil digital vaksinasi dalam MySejahtera dengan jumlah bayaran tertentu melaporkan kepada polis.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan menjual sijil digital vaksinasi ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, tular satu mesej menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa boleh menyediakan atau membuat sijil digital vaksinasi dalam MySejahtera dengan bayaran sebanyak RM2,500 bagi setiap individu.

Sinar Harian melaporkan, individu yang menawarkan sijil digital itu mendakwa pembeli akan 'selamat' jika diperiksa oleh penguat kuasa selain sijil tersebut boleh digunakan di semua tempat.

Sijil tersebut juga akan dipaparkan dengan maklumat pembeli seperti nama dan nombor kad pengenalan pada aplikasi MySejahtera.

Menurut mesej yang tular itu, pembeli hanya perlu menyediakan salinan kad pengenalan dan ID MySejahtera dan mengambil masa dua minggu selepas pembayaran dibuat sebelum MySejahtera pembeli dikemas kini dengan sijil tersebut.

Artikel Berkaitan:

Individu itu juga mendakwa, MySejahtera pembeli akan dikemas kini sehingga dos yang disyorkan selain turut akan menerima kemas kini dos penggalak.