Tak boleh nafi kewarganegaraan mereka: Shafie

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Nilai perikemanusiaan dan belas kasihan perlu diberikan kepada kanak-kanak yang lahir di Sabah dan dikategorikan sebagai warga asing walaupun seorang daripada ibu bapa mereka adalah orang tempatan, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, kanak-kanak berkenaan tidak boleh dinafikan kewarganegaraan kerana salah seorang daripada ibu bapa mereka merupakan rakyat Malaysia.

"Ramai di antara mereka tidak mendapat dokumen kerana masalah perkahwinan ibu bapa mereka, seperti perkahwinan yang tidak berdaftar kerana salah seorang daripada ibu bapa mereka bukan orang Malaysia.

"Bagaimana kita boleh menghukum mereka untuk ini... hanya kerana salah seorang daripada ibu bapa bukannya Sabahan dan kita menafikan mereka untuk mendapatkan akses ke sekolah dengan dokumen yang sah, " katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Regatta Lepa 2019, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, bagaimanapun terdapat prosedur ketat yang ditetapkan dan antaranya pemohon perlu membuktikan bahawa kanak-kanak itu dilahirkan di Sabah dan ibu atau bapanya adalah orang tempatan sebelum langkah selanjutnya diambil.

"Tanggungjawab memberi kerakyatan kepada golongan berkenaan bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Ia adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai pelancaran Regatta Lepa 2019, Mohd Shafie berkata pesta berkenaan yang akan diadakan di Semporna pada 25 hingga 28 April depan mampu menarik lebih ramai pelancong ke Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Regata bukan lagi asing dalam kalendar pelancongan Sabah dan ia bukan sambutan yang semata-mata untuk mengangkat budaya warisan suku kaum Bajau, namun kini ia menjadi salah satu produk utama pelancongan di Malaysia, khususnya di Sabah," katanya. - Bernama