'Bentang kertas putih, tubuh jawatankuasa siasatan bebas'

Mahfuz (kiri) ketika meninjau Karnival Jualan Keluarga Malaysia di tapak pekan sehari di Pekan Langgar, Pokok Sena pada Sabtu.
Mahfuz (kiri) ketika meninjau Karnival Jualan Keluarga Malaysia di tapak pekan sehari di Pekan Langgar, Pokok Sena pada Sabtu.
A
A
A

POKOK SENA - Kerajaan disaran membentangkan kertas putih berkaitan dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada sidang khas Parlimen yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 20 Januari ini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, menerusi kertas putih tersebut, kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa siasatan bebas untuk melakukan siasatan secara telus.

Menurutnya, jawatankuasa berkenaan harus diletakkan di bawah pengawasan Parlimen bagi memastikan hasil siasatan berintegriti serta bebas tanpa dipengaruhi oleh kuasa politik.

“Tidak perlu Suruhanjaya Diraja untuk kes ini kerana ia ambil masa lama. Memadai diwujudkan jawatankuasa bebas untuk siasat, seperti yang pernah kerajaan Pakatan Harapan (PH) lakukan pada 2018.

“Ketika itu, PH tubuhkan Jawatankuasa Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang (bekas Ketua Audit Negara) dan berjaya mengenal pasti 32 kes yang perlukan siasatan. Ada kes sempat disiasat dan telah pun dikemukakan kepada kerajaan,” katanya selepas meninjau Karnival Jualan Keluarga Malaysia di tapak pekan sehari di Pekan Langgar, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, setelah kepimpinan kerajaan bertukar, akhirnya jawatankuasa terbabit telah dibubarkan.

“Jawatankuasa terbabit sangat bagus bagi memastikan setiap kementerian disiasat sekiranya terdapat kes dilaporkan. Apabila hasil siasatan menunjukkan ada kes, polis dan SPRM boleh teruskan siasatan dengan lebih cepat,” katanya.

“Saya cadangkan sebuah jawatankuasa seumpama itu diwujudkan dan diletakkan di bawah Parlimen. Hasil siasatan kes Azam Baki kemudian dikemukakan kepada polis dan agensi penguat kuasa sehingga kepada Peguam Negara untuk diambil tindakan,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Mahfuz yang juga Ahi Parlimen Pokok Sena sebelum ini mencadangkan agar sidang khas Parlimen pada 20 Januari ditambah kepada enam hari dan bukannya sehari, bagi membolehkan Perdana Menteri dan kerajaan membentang serta membahaskan dua isu besar yang sedang melanda negara.

“Isu banjir pun tak cukup satu hari, banyak perkara perlu bincang seperti punca, operasi menyelamat yang menunjukkan kelemahan, selain pasca banjir meliputi pembersihan dan kelangsungan mangsa banjir.

“Tak munasabah semua itu dapat diselesaikan dalam sehari, kita bukan nak dengar penerangan menteri semata-mata, kita juga mahu berikan idea dan perlu ada sesi perbincangan. Tiga hari untuk bincang isu banjir, tiga hari lagi bahas kertas putih isu pemilikan saham Azam,” katanya.

Mahfuz turut menempelak kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung perkara itu.

“Mana boleh sekadar diperjelas secara verbal. Takiyuddin nyatakan beban pembuktian terletak ke atas pihak yang masih terus membuat dakwaan.

“Kes seperti ini bukan boleh sekadar angkat sumpah, kenyataan seperti itu sangat memalukan apabila disuarakan oleh parti yang perjuangkan Islam. Pendirian Pas sama seperti kes 1MDB, mereka nampaknya puas hati,” katanya.

Azam sebelum ini didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara tahun 2015 dan 2016.

Bagaimanapun, pada Rabu Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang memaklumkan, pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya milik adik Azam, iaitu Nasir Baki. Beliau menjelaskan, tiada sebarang perlakuan jenayah atau konflik kepentingan dalam perkara tersebut.