X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

LPPR cadang tiga pilihan panel

Enam ahli LPPR bergambar bersama Azam (depan, tengah) selepas menerima surat cara dan pelantikan pada Jun 2020.
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Malaysia (LPPR) mengesyorkan isu pemilikan jutaan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dirujuk kepada tiga pilihan panel untuk tindakan lanjut.

Panel yang dicadangkan itu adalah sebuah Jawatankuasa Bebas, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah serta Panel Aduan SPRM.

Bagaimanapun menurut enam ahli LPPR, pandangan dan cadangan tersebut tidak dibangkitkan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang dalam sidang media berkaitan isu itu pada Rabu lalu.

"Sebelum sidang media berkenaan, kami telah mengadakan perbincangan berasingan dengan Abu Zahar dan mencadangkan perkara ini dirujuk selanjutnya kepada mana-mana panel dan jawatankuasa berikut.

“LPPR tidak mempunyai kuasa penyiasatan kerana ia ditubuhkan sebagai Lembaga Penasihat.

"Kami perlu memberikan penjelasan ini untuk menjaga integriti lembaga dan institusi," kata mereka dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Enam ahli LPPR itu adalah Tan Sri Ismail Omar; Datuk Seri Azman Ujang; Datuk Seri Akhbar Satar; Datuk Dr Hamzah Kassim; Datuk David Chua Kok Tee dan Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Sebelum ini Azam didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara tahun 2015 dan 2016.

Susulan itu, Abu Zahar dalam satu sidang media memaklumkan LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik Nasir Baki iaitu adiknya.

Mengulas lanjut enam ahli LPPR itu berkata, kenyataan yang dibuat Abu Zahar menerusi sidang media tersebut adalah pandangan peribadi beliau semata-mata.

“Ahli lembaga pada mesyuarat itu atau pada bila-bila masa selepas itu tidak menyatakan pendapat seperti yang disifatkan Abu Zahar,” ujar mereka.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!