Negeri Sembilan pulih sepenuhnya, mangsa banjir dua negeri menurun

Air banjir di Kampung Spang Loi semakin surut membolehkan kenderaan ringan melepasi laluan yang dinaiki air untuk pulang ke kediaman masing-masing. - Foto Bernama
Air banjir di Kampung Spang Loi semakin surut membolehkan kenderaan ringan melepasi laluan yang dinaiki air untuk pulang ke kediaman masing-masing. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Banjir di Negeri Sembilan pulih sepenuhnya dengan pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir ditutup pada Jumaat manakala jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang menurun sementara Melaka tidak berubah.

Berdasarkan laporan aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), banjir di Negeri Sembilan pulih sepenuhnya apabila PPS Dewan Orang Ramai Kampung Puom, Jelebu ditutup pada Jumaat.

PPS itu menempatkan enam individu daripada dua keluarga yang kehilangan rumah akibat banjir yang melanda 18 Disember lalu.

Di Johor, jumlah mangsa banjir terus menurun daripada 4,233 individu daripada 1,191 keluarga pada Jumaat malam kepada 3,872 orang daripada 1,090 keluarga setakat jam 8 pagi pada Sabtu, di 56 PPS.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, empat daerah masih terjejas dengan banjir dan Segamat terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,884 orang, diikuti Muar (1,188), Tangkak (726) dan Batu Pahat (74).

"Bagaimanapun, semua penduduk diingatkan agar sentiasa berwaspada berikutan empat sungai di daerah Muar mencatatkan paras bahaya iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat; Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Muar; Sungai Muar di Panchor, Muar; Sungai Muar di Liang Batu, Muar; dan Sungai Endau di Kampung Labong, Mersing," katanya.

Beliau berkata, cuaca di seluruh negeri Johor termasuk daerah yang terjejas banjir ketika ini dilaporkan cerah.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir setakat jam 8 pagi menurun berbanding petang Jumaat dengan 493 orang masih ditempatkan di 11 pusat pemindahan di daerah Maran, Pekan dan Rompin, manakala kesemua PPS di Temerloh dan Bera telah ditutup pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Beberapa jalan masih lagi ditutup antaranya Jalan Triang 1, Jalan Bohor Baru di Bera, Jalan Ibam-Kampung Aur, Jalan Kampung Lubuk Batu (Rompin), Jalan Teluk Ganchong Lepar (Pekan), Jalan Serengkam (Maran) dan Jalan Kota Gelanggi-Lepar Utara (Jerantut).

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan aras air di Sungai Kundang di Jambatan Sungkai Kundang di Maran, Sungai Dong di Kampung Peruas (Raub) dan Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi (Bentong) telah melepasi tahap waspada pagi ini.

Sementara itu, di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, mangsa banjir di Melaka kekal 389 orang daripada 105 keluarga pagi ini dengan satu PPS masih dibuka di Alor Gajah dan tiga PPS di Jasin.

Sementara itu, laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat dan ribut petir berlaku di Mersing serta tiga tempat di Sarawak. - Bernama