Sila log masuk terlebih dahulu.

FAM jangan tangkap muat

Prestasi turun naik Harimau Malaya mengundang perasaan kurang senang dalam kalangan komuniti bola sepak tempatan. - Foto FAM (Gambar kecil: Khalid)
Prestasi turun naik Harimau Malaya mengundang perasaan kurang senang dalam kalangan komuniti bola sepak tempatan. - Foto FAM (Gambar kecil: Khalid)
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa agar tidak tangkap muat dalam pemilihan barisan kejurulatihan dan teknikal dalam misi mengembalikan ngauman Harimau Malaya.

Sebaliknya badan induk bola sepak negara itu diminta untuk menilai dan melihat secara holistik sebelum seseorang individu itu dilantik bagi mengisi sesuatu jawatan tersebut.

Peringatan itu disuarakan legenda bola sepak negara, Khalid Ali yang melihat kegagalan FAM untuk berbuat demikian hanya akan menyebabkan skrip sama yang berlaku seperti sekarang akan berulang pada masa depan.

“Saya lihat FAM kena ambil serius dalam melantik mana-mana individu dalam bahagian teknikal atau kejurulatihan dan jangan ambil sekadar cukup syarat atau tangkap muat.

“Sebab nanti situasi sama berulang, melabur banyak duit untuk sesuatu projek tetapi hasilnya lepas empat tahun untuk lahirkan pemain bertaraf antarabangsa tidak ada.

“Jadi jangan pandang remeh perkara ini kerana ia bagi kesan kepada bola sepak tanah air,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Dalam pada itu, Khalid juga turut meluahkan kekecewaannya terhadap jurulatih tempatan yang masih tidak mampu untuk melahirkan bakat-bakat baharu berkualiti meskipun sudah berkecimpung lama dalam arena bola sepak tanah air.

Jelasnya, semua pihak perlu bekerjasama dan tidak mengharap kepada FAM sendiri bagi meningkatkan lagi mutu sukan nombor satu Malaysia itu.

Artikel Berkaitan:

“Saya bukan mahu menyebelahi FAM tetapi kalau mereka seorang sahaja buat kerja untuk bantu meningkatkan mutu bola sepak saya rasa ia tidak akan menjadi.

“Mana pergi jurulatih-jurulatih yang dah berkecimpung 10 hingga 20 tahun tetapi masih belum mampu lahirkan pemain-pemain yang berkualiti.

“Kalaulah semua pihak boleh bagi kerjasama saya rasa tidak mustahil untuk mutu bola sepak negara kembali meningkat pada masa depan,” katanya.