FAM tubuh badan bebas siasat kegagalan Harimau Malaya

Kesebelasan Harimau Malaya pada aksi berdepan Indonesia di Stadium Nasional, Singapura - Foto Fb FAM
Kesebelasan Harimau Malaya pada aksi berdepan Indonesia di Stadium Nasional, Singapura - Foto Fb FAM
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SUSULAN kegagalan skuad Harimau Malaya pada saingan Piala Suzuki AFF di Singapura, bulan lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bertindak menubuhkan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya bagi melakukan bedah siasat atas kegagalan berkenaan.

Menerusi satu kenyataan media pada Jumaat, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, badan siasatan bebas ini diketuai oleh bekas pemain kebangsaan yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan.

Menurut Hamidin, Dell Akbar juga diberikan mandat untuk melantik individu-individu lain bagi menganggotai badan siasatan bebas ini melibatkan individu yang pernah menjawat jawatan dalam bola sepk, termasuk bekas pemain serta jurulatih, tetapi tidak memegang sebarang jawatan mahupun menganggotai mana-mana jawatankuasa FAM ketika ini.

“Tugas utama badan bebas ini adalah untuk melakukan bedah siasat terlebih dahulu terhadap laporan dan analisis lengkap daripada barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan mengenai prestasi Harimau Malaya sepanjang kempen di Singapura, tempoh hari yang telah siap dan diserahkan kepada Sekretariat FAM, baru-baru ini.

“Hasil bedah siasat daripada Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya ini seterusnya akan dibentangkan oleh Datuk Dell Akbar bersama langkah-langkah penambahbaikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM untuk dibincangkan,” katanya dalam kenyataan media berkenaan.

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe hanya mencatat dua kemenangan pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 apabila menewaskan Kemboja 3-1 dan Laos 4-0 pada dua perlawanan awal.

Pada dua aksi terakhir, skuad negara tewas 0-3 kepada Vietnam sebelum tewas 1-4 kepada Indonesia sekali gus gagal ke separuh akhir.

Artikel Berkaitan: