[VIDEO] Pemuda Amanah beri masa tujuh hari untuk Azam Baki direhatkan

Mohd Hasbie (depan, tengah) menunjukkan memorandum yang diserahkan kepada Istana Negara berhubung keraguan integriti Azam di Pintu 3 Istana Negara, Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Mohd Hasbie (depan, tengah) menunjukkan memorandum yang diserahkan kepada Istana Negara berhubung keraguan integriti Azam di Pintu 3 Istana Negara, Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) memberi tempoh masa tujuh hari untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, merehatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki agar siasatan terhadap beliau dapat dilaksanakan dengan bebas.

Pengarah Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan berkata, sekiranya Azam tidak direhatkan dalam tempoh itu, Amanah akan menganjurkan satu himpunan rakyat di hadapan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

"Sekarang ini beliau masih berkuasa dan terbaharu Azam nak saman pula orang yang sebarkan maklumat. Bagi saya ini imej yang tidak berapa baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Pegawai Perhubungan Akhbar Istana Negara, Husni Yusop berkenaan keraguan integriti Ketua Pesuruhjaya SPRM itu di Pintu 3, Istana Negara, di sini pada Jumaat.

Sebelum ini Azam didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara tahun 2015 dan 2016.

Bagaimanapun, ia akhirnya terjawab pada Rabu apabila Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang memaklumkan bahawa pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki.

Mengulas lanjut mengenai tuntutan memorandum itu, Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda berkata, mereka mencadangkan agar Seri Paduka Baginda bertitah kepada Perdana Menteri untuk segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat hal tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hasbie Muda
Mohd Hasbie Muda

Tambahnya, biarpun Azam sudah menjawab dakwaan konflik kepentingan saham dikaitkan dirinya, siasatan lanjut dan terperinci oleh suruhanjaya bebas masih diperlukan bagi memastikan dakwaan tersebut dapat diteliti sebaiknya.

"Sebenarnya bukan tugas LPPR untuk tentukan Azam bersalah atau tidak tetapi yang berhak ialah suruhanjaya bebas.

"Kita juga kena tahu dalam LPPR, Azam ialah salah seorang daripada anggota, sebahagian daripada LPPR. Jadi kalau dia dalam tu, dah jadi macam keluarga 69. Dia siasat dia dan tentukan dia tidak bersalah," jelas beliau.