MSPO 2.0 akan dilancarkan pada Mac depan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) 2.0 dijangka dilancarkan pada Mac tahun ini, ia akan mengetengahkan bidang tumpuan utama, iaitu memperkenalkan tarikh akhir untuk mengecualikan tanah yang ditebang daripada diperakui, nilai pemuliharaan tinggi, penilaian impak sosial, kalkulator gas rumah hijau (GHG) serta menangani isu buruh paksa dan kanak-kanak.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), Mohammad Hafezh Abdul Rahman berkata, versi semakan bagi pensijilan MSPO akan meningkatkan lagi penerimaan minyak sawit Malaysia dalam pasaran global, serta membina kepercayaan terhadap pemain industri tempatan.

Versi semakan semula MSPO 2.0 telah disahkan oleh Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan dan kini sedang menunggu ia ditandatangani oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bulan ini dan dijangka dilancarkan pada akhir Februari.

“MSPO adalah platform untuk Malaysia menjawab semua dakwaan yang dibuat terhadap industri minyak sawitnya berhubung dengan kemampanan,” katanya kepada Bernama selepas Reach and Remind, Friends of the Industry Seminar 2022 and Dialogue anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) pada Rabu.

Mohammad Hafezh berkata, langkah itu adalah pendekatan yang bijak, di mana piawaian memerlukan pihak berkepentingan terutamanya pematuhan pekebun kecil dalam memenuhi keperluan MSPO.

“Memandangkan pekebun kecil kekurangan daripada segi mendapatkan sumber untuk mendapatkan audit pensijilan, MSPO sudah pun menanganinya. Kami menyokong keterangkuman dan mahu meningkatkan tahap dan pelaksanaan praktikal untuk pekebun kecil bagi menjadi sebahagian daripada agenda kemampanan kami.

"Sebab itu, menerusi piawaian yang disemak semula ini, kami menangani semua isu kemampanan yang telah dibangkitkan oleh pasaran antarabangsa," katanya.

Mohammad Hafezh berkata, selaras dengan tarikh mandatori pada Januari 2020, MPOCC menjangkakan bahawa tiada penanaman baharu di hutan semula jadi atau kawasan sensitif yang dijalankan selepas tarikh akhir yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Mengenai isu buruh, kami meletakkan kesemua 11 petunjuk buruh paksa oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam piawaian kami dan hakikatnya piawaian MSPO yang disemak semula meneliti buruh paksa, buruh kanak-kanak dan juga pekerjaan tiga segi.

“Selain itu, MPOCC berusaha untuk mengawal dan memastikan tiada buruh paksa atau buruh kanak-kanak dalam industri tersebut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah bahagian Promosi dan Komunikasi Korporat MPOC, Razita Abdul Razak dalam pembentangan kertas kerjanya bertajuk "Mempromosikan MSPO Kepada Audiens Global" berkata lebih 90 peratus kawasan tanaman kelapa sawit telah mendapat pensijilan MSPO.

“Sekarang kita harus menumpukan kepada kesedaran awam mengenai skim pensijilan sebagai standard yang boleh dipercayai yang diiktiraf oleh negara pengimport.

“Kami mencadangkan supaya promosi MSPO dipertingkatkan di pasaran Asean, Asia Pasifik, Asia Selatan, Asia Tenggara dan Timur Tengah,” katanya.

Beliau berkata pengguna global prihatin terhadap isu kemampanan dan alam sekitar dan strategi perbezaan pasaran mesti diguna pakai untuk meningkatkan keutamaan terhadap minyak sawit Malaysia.

“Ketika ini tiada perbezaan antara Malaysia dan pengeluar minyak sawit lain, tumpuan kita harus tertumpu kepada minyak sawit mampan atau MSPO.

"Adalah penting bahawa penerimaan ini harus bermula dengan negara jiran kita di Asia," katanya.

Beliau berkata walaupun MSPO diwajibkan sejak Januari 2020, keterlihatannya di peringkat bawah tidak begitu menggalakkan, wujud keperluan untuk program dorongan dan promosi yang lebih bersepadu untuk meningkatkan keterlihatan MSPO.

Tahun ini, Malaysia meningkatkan usaha pemasaran dan promosinya untuk pengiktirafan global MSPO sebagai standard kemampanan Malaysia.

Pelan pemasaran dan promosi yang menyeluruh diperlukan untuk memastikan keterlihatan dan pemahaman tentang MSPO akan dilaksanakan, bermula daripada penglibatan dengan pegawai utama kerajaan, seminar dan perbincangan dengan persatuan perdagangan serta sektor hotel, restoran dan kafe (HoReCa) dan juga melakukan jerayawara dan pengiklanan luar, elektronik dan media sosial untuk pengguna umum.

Setakat Disember 2021, sejumlah 5.36 juta hektar atau 91.3 peratus daripada jumlah kawasan ladang seluas 5.87 juta hektar telah menerima pensijilan MSPO dan daripada jumlah itu sebanyak 684,970 hektar untuk pekebun kecil terancang dan 518,981 hektar untuk pekebun kecil bertauliah. - Bernama